PENGUNJUNG SETIA

30 Jun 2009

MEMARTABATKAN TULISAN JAWI

Ditulis oleh Aivizanoorwani Shah

KOTA ISKANDAR, 30 Jun: Penggunaan tulisan Jawi perlu dimartabatkan agar tidak pupus ditelan peredaran masa dan sepatutnya dijadikan ikon negeri ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri Semerah, Datuk Ariss Samsudin, berkata langkah segera perlu diambil untuk menjayakan usaha itu memandangkan ramai orang Melayu sendiri tidak mahir dengan tulisan Jawi.

"Suatu ketika dahulu, tulisan Jawi pernah menjadi tulisan utama dan digunakan secara meluas sehingga boleh didapati di papan tanda kedai milik masyarakat Cina dan India, misalnya, kedai emas, barangan runcit dan di premis menjual ubat-ubatan tradisional.

"Paling membanggakan ialah mereka turut berkebolehan untuk membaca dan menulis menggunakan tulisan Jawi tetapi kini ia semakin pupus," katanya ketika membahaskan usul junjung kasih titah ucapan Sultan Johor pada Sidang Dewan Negeri ke-12 di sini, hari ini.

Ariss berkata, usaha ini perlu mendapat sokongan daripada pihak jabatan Kerajaan Negeri jika mahu tulisan Jawi kembali digunakan oleh masyarakat di negeri ini.

"Jabatan Agama Islam boleh menjadi pemangkin kepada usaha ini dengan menerapkan tulisan Jawi dikalangan murid-murid Sekolah Agama iaitu tidak perlu pilihan bahasa untuk mereka menjawab soalan peperiksaan.

"Jika ini dapat dicapai, maka generasi akan datang boleh mengenali tulisan jawi sekaligus dapat mempertahankan warisan bangsa kita ini," katanya.

Beliau turut mencadangkan agar kelas dewasa diwujudkan bagi membantu mereka yang buta huruf tulisan Jawi.

Katanya, di kawasan beliau sudah digerakkan kelas dewasa secara berkala dan diajar oleh penggiat tulisan Jawi, Mokhtar Talib.

SUMBER: KHABAR ORANG JOHOR MEDKOM.MY 30 JUN 2009

Tiada ulasan: