PENGUNJUNG SETIA

01 Jun 2009

PULIH RUMAH TERBENGKALAI


ABDUL Ghani Othman menyampaikan watikah pelantikan kepada Senator Ahmat Yusop (tiga dari kanan) sebagai Pengerusi Penaja Persatuan Pengguna Daerah Ledang pada majlis di Dewan Serbaguna Bukit Gambir, Ledang, kelmarin.


LEDANG 31 Mei - Kerajaan Johor akan mengesan projek-projek perumahan yang terbengkalai di seluruh negeri ini bagi membolehkan ia dipulihkan semula untuk manfaat rakyat.

Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, pihaknya memandang serius terhadap masalah tersebut memandangkan ia melibatkan kepentingan para pembeli rumah di negeri ini.

"Memang ada masalah projek-projek perumahan yang terbengkalai di negeri Johor di beberapa daerah.

"Kerajaan Johor akan mengesan projek-projek yang terbengkalai ini agar dapat diselesaikan bagi kepentingan para pembeli,'' katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penutup Seminar Kesedaran Pengguna dan pelancaran Persatuan Pengguna Daerah Ledang di Dewan Serbaguna Bukit Gambir di sini semalam.

Turut hadir pada majlis anjuran Biro Hal Ehwal Pengguna UMNO Bahagian Ledang itu ialah Ahli Parlimen Ledang, Ir. Hamim Samuri serta Ketua Eksekutif Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd. Yusof A. Rahman.

Pada majlis yang sama, Abdul Ghani turut menyampaikan watikah pelantikan Ahli Dewan Negara, Senator Ahmat Yusop sebagai Pengerusi Penaja Persatuan Pengguna Daerah Ledang.

Menurut Abdul Ghani, isu projek perumahan terbengkalai merupakan masalah yang rumit namun ia perlu diatasi bagi mengelakkan kerugian besar kepada para pembeli yang telah membuat pinjaman bank.

"Sebagai contoh, masalah sebuah projek perumahan di pekan Sungai Mati yang sudah terbengkalai hampir 10 tahun ini, saya beri jaminan ada penyelesaiannya.

"Sebelum ini, usaha telah dilakukan lima tahun dahulu namun ia tergendala, kali ini saya yakin kita akan dapat menyelesaikannya," katanya.

Sementara itu, menurut Abdul Ghani, anggota masyarakat disaran untuk meningkatkan kesedaran kuasa pengguna bagi mengimbangi pihak industri dalam menentukan harga barangan di pasaran.

"Dari segi peruntukan undang-undang, kuasa kerajaan untuk menetapkan barang-barang yang dikawal harganya adalah amat terhad, kerana itu, para pengguna perlu bijak memainkan peranan mereka," katanya.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 01 JUN 2009

Tiada ulasan: