PENGUNJUNG SETIA

23 Jun 2009

KUPANG KESANG SEMAKIN PUPUS

Oleh Junita Mat Rasid
junita@bharian.com.my

MUAR: Perairan daerah ini terutama di Kesang sesuai untuk industri ternakan kupang berikutan aliran airnya menjadikan kupang di kawasan itu juga dikatakan lebih manis dan teksturnya juga lebih lembut.

Jika 10 tahun lalu, kupang bukan saja diternak, malah penduduk juga boleh mencari kupang liar di pesisiran pantai dan Sungai Muar, namun kini kupang di kawasan itu sudah pupus menyebabkan `pangau' atau para yang diletakkan sejauh lebih satu kilometer ke tengah laut untuk mengumpulkan kupang dibiarkan begitu saja.

Pengerusi Persatuan Nelayan Muar dan Ledang, Mohd Yusoff Atan, mendakwa kupang di kawasan daerah ini terutama Kesang sudah pupus berikutan masalah perubahan aliran air di dasar sungai berikutan kerja mengorek muara Sungai Muar untuk projek pembinaan Marina Muar yang siap sejak beberapa tahun lalu.

Katanya, perubahan aliran air itu itu menyebabkan bukan saja menyebabkan kupang yang diternak mula pupus, malah kupang liar, kerang dan beberapa spesies ikan termasuk belanak dan sembilang juga semakin berkurangan.

"Jika 10 tahun lalu, nelayan dan penduduk kampung boleh mencari kupang di lokasi berhampiran pantai dan Sungai Kesang, kini kupang sudah tiada, malah di pangau sendiri hanya ditumbuhi dengan teritip saja.

"Selain itu jika dulu nelayan boleh mencari kerang sehingga 100 kilogram dalam masa dua jam, kini untuk mendapatkan kerang 10 kilogram sehari pun sukar menyebabkan ramai pencari kerang dan penternak kupang terpaksa mencari pendapatan lain," katanya.

Mohd Yusoff berkata, jika dulu setiap tali yang dipasang di pangau itu boleh menghasilkan sehingga 60 kilogram hingga 70 kilogram kupang, kini ia dipenuhi dengan hanya teritip sehingga menyebabkan lebih 10 pangau milik penduduk termasuk projek bekas siswazah terbiar begitu saja.

Beliau berkata, kini deretan gerai di Parit Bunga dan Kesang yang menjual hasil laut terpaksa mendapatkan kupang daripada kawasan lain iaitu dari Johor Bahru berikutan bekalan kupang dari Muar terutama Kesang sudah tiada.

"Situasi sungguh berbeza berbanding dulu yang mana benih kupang dari Kesang yang dibawa ke Johor Bahru untuk dijadikan benih tetapi kini daerah ini terpaksa membeli kupang yang dari bandar raya itu," katanya.

Seorang penjual kupang, Ungku Husin Ungku Ismail, 38, berkata beliau mendapat bekalan kupang dari pengusaha ternakan kupang di Masai, dekat Johor Bahru berikutan kupang di Kesang dikatakan sudah pupus.

Katanya, setiap hari beliau menjual empat guni kupang yang setiap satu seberat 45 kilogram dan jumlah itu meningkat kepada enam guni pada hujung minggu, malah ketika cuti musim perayaan, jualannya boleh meningkat kepada 12 guni sehari.

"Kupang Kesang dan Muar sudah habis (pupus). Oleh kerana kupang mempunyai penggemarnya sendiri dan sentiasa mendapat permintaan, saya mencari alternatif lain dengan mendapatkan bekalan kupang dari Masai.

"Kupang itu yang lebih besar saiznya dijual dengan harga RM4 sekilogram, berbanding kupang dari daerah ini yang lebih kecil tetapi mempunyai rasa yang lebih manis dijual dengan harga RM2 sekilogram," katanya.

Sementara itu seorang penggemar kupang, Jumaat Salleh, 40, dari Bukit Pasir, berkata, biasanya dua atau tiga kali seminggu beliau akan membeli beberapa kilogram kupang untuk dijadikan hidangannya sekeluarga.

Katanya, rasa kupang yang manis menyebabkannya menjadi makanan kegemarannya sama ada direbus atau dimasak sambal pedas.

"Dalam seminggu sekurang-kurangnya dua hingga tiga kali saya akan membeli kupang dan biasanya saya akan datang ke Parit Bunga yang mempunyai banyak gerai menjual kupang," katanya.

FAKTA

  • Nama saintifik kupang ialah Perna Virdus Linnaeus.

  • Antara kaedah ternakan kupang ialah dengan menggunakan sangkar bersaiz 12 meter x 18 meter setiap satu dan sistem rawai atau tali yang digantung pada rakit.

  • Ternakan kupang yang menggunakan sistem rawai akan mengikat tali pada rakit dengan kedalaman kira-kira empat meter dan tali berkenaan dibiarkan terampai dalam air kira-kira satu meter daripada dasar laut.

  • Sebelum kupang diternak, pengusaha perlu menyediakan 'pangau' atau para yang diletakkan sejauh lebih satu kilometer ke tengah laut untuk mengumpulkan benihnya dengan memasang pangau yang diperbuat daripada batang nibung sebelum diikat dengan tali atau rawai yang dibiarkan ke dalam air.

  • Kupang yang kaya dengan kandungan protein biasanya direbus, bakar, sambal atau masak lemak cili api.

  • SUMBER: BERITA HARIAN, 23 JUN 2009

    2 ulasan:

    Tanpa Nama berkata...

    salam. dimana boleh saya dapatkan kupang?
    boleh bagi saya no telefon?
    terima kasih.

    zaidi
    dina_2411@yahoo.com

    ::BLOGMASTER:: berkata...

    wsalam..saudara boleh datang ke muar/ledang..di tepi jalan sepanjang jalan dari pt bunga ke sungai mati ada gerai menjual kupang. No. telefon x ada.
    TQ