PENGUNJUNG SETIA

13 Jun 2009

7 KAMPUNG TAK CUKUP TANAH KUBUR

TANGKAK: Penduduk di tujuh kampung di Serom berhadapan dengan masalah apabila Tanah Perkuburan Islam Kampung Serom 8, dekat sini, tidak mencukupi dan semua lotnya dijangka penuh dalam tempoh tiga tahun lagi.

Penduduk kawasan itu kini berdepan masalah berikutan ketiadaan tanah bersesuaian yang boleh dijadikan tapak tanah kubur berikutan kawasan sedia ada bersempadan dengan laluan utama dan ladang kelapa sawit.

Tanah perkuburan seluas kira-kira 0.8 hektar itu digunakan sejak beratus tahun lalu lagi iaitu sejak kampung berkenaan dibuka dan menjadi kawasan perkuburan kira-kira 5,000 penduduk termasuk enam lagi kampung berhampiran iaitu Serom 5, Serom 6, Parit Pulai, Sri Jaya, Parit Bunga Raya Hujung dan Simpang Lima Darat.

Ketua Kampung Serom 8, Hamzah Marzuki, berkata pihaknya menghadapi masalah kekurangan tanah yang boleh dijadikan tapak perkuburan baru berikutan tiada tanah wakaf yang bersesuaian selain kedudukan kubur sedia ada yang bersempadan dengan jalan raya dan ladang kelapa sawit.

Katanya, pihaknya merancang untuk mengambil tanah estet kelapa sawit seluas kira-kira empat hektar di kawasan kampung itu yang sesuai dijadikan tanah perkuburan sebagai langkah penyelesaian jangka masa panjang.

"Pada masa ini, kami menghadapi masalah kekurangan tanah kubur yang serius kerana kawasan yang kosong kini tinggal kurang suku ekar (0.1 hektar) menyebabkan saya menjangkakan dalam tempoh kurang tiga tahun lagi kami akan kehabisan tanah kubur," katanya.

Hamzah berkata, tanah perkuburan itu yang berusia beratus tahun iaitu sejak kawasan perkampungan mula dibuka menyebabkan banyak terdapat kubur lama sehingga ruang untuk kubur baru terhad.

Beliau berkata, masalah kekurangan kubur itu semakin meruncing berikutan tanah perkuburan sedia ada bukan sahaja digunakan untuk penduduk Kampung Serom 8, malah turut menjadi tanah perkuburan untuk penduduk di kampung sekitarnya.

Sehubungan itu katanya, pihaknya akan berusaha untuk mengenal pasti tanah perkuburan baru yang lebih luas bagi kegunaan jangka panjang.

SUMBER: BERITA HARIAN, 13 JUN 2009

Tiada ulasan: