PENGUNJUNG SETIA

05 Jun 2009

ELAK PROVOKASI PERAIRAN AMBALAT

Oleh Mohd Roji Abdullah
mdroji@bharian.com.my

MUAR: Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta semua pihak mengelak daripada melakukan sebarang tindakan berbentuk provokasi di sekitar perairan bertindih Ambalat berhampiran Sabah yang dipercayai kaya dengan sumber minyak dan gas.

Timbalan Perdana Menteri berkata, negara mempunyai hubungan dua hala yang amat baik dengan Jakarta dan tidak mahu timbul sebarang masalah yang boleh menjejaskan hubungan itu.

“Kita mahu mengelakkan sebarang bentuk provokasi yang boleh mencetuskan perkara yang tidak elok. Kita perlu menanganinya secara berhemah. Kita tidak mahu timbul perkara yang mungkin boleh menjejaskan hubungan Malaysia-Indonesia,” katanya selepas melancarkan Rakan Alam Sekitar dan Penganugerahan Sekolah Lestari - Anugerah Alam Sekitar, di sini semalam.

Isu tuntutan bertindih perairan Ambalat kembali hangat apabila media Indonesia melaporkan apa yang didakwa sebagai insiden pencerobohan kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di perairan itu.

Kejadian dikatakan berlaku 25 Mei lalu di kawasan Ambalat, Laut Sulawesi berhampiran Kalimantan Timur yang kini dituntut oleh Malaysia dan Indonesia.

Dalam laporan itu Tentera Laut Indonesia mendakwa TLDM dan Pasukan Gerakan Marin Malaysia sering menceroboh perairan Indonesia.

Muhyiddin berkata, isu itu membabitkan agensi keselamatan kedua-dua negara dan ia harus diselesaikan oleh mereka yang terbabit.

"Saya fikir pihak berkuasa keselamatan Malaysia pun tahu tanggungjawab mereka dan saya pasti mereka juga melakukan rondaan di kawasan itu mengikut peraturan kawalan biasa," katanya.

Berhubung perkembangan proses rundingan terhadap pulau Ambalat, Muhyiddin berkata beliau belum menerima maklumat lanjut dari Kementerian Luar.

Mengenai alam sekitar, Muhyiddin berkata, pelbagai program untuk memastikan alam sekitar terus terpelihara tidak akan berkesan selagi kurang kesedaran orang ramai untuk bersama-sama memikul tanggungjawab itu.

Katanya, masyarakat hingga ke peringkat akar umbi harus sedar sikap mengabaikan tanggungjawab memelihara alam sekitar hanya merugikan diri sendiri apabila berlaku kemusnahan.

Justeru, katanya, inisiatif Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, mewujudkan program Rakan Alam Sekitar di semua kawasan Parlimen adalah pendekatan terbaik meningkatkan kesedaran penjagaan alam sekitar pada peringkat akar umbi.

Semua wakil rakyat Barisan Nasional (BN) akan mengetuai program berkenaan di kawasan masing-masing, manakala kawasan yang diwakili pembangkang, pemimpin BN tempatan akan memikul tanggungjawab itu.

SUMBER: BERITA HARIAN, 5 JUN 2009

Tiada ulasan: