PENGUNJUNG SETIA

25 Jun 2009

6,154 PEKERJA DIBERHENTIKAN DI JOHOR

NUSAJAYA 24 Jun - Seramai 6,154 pekerja telah diberhentikan oleh 162 syarikat di negeri ini sejak Oktober tahun lalu hingga Mei lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Sumber Manusia, Sains, Teknologi dan Inovasi, M. Asojan berkata, daripada jumlah tersebut seramai 3,929 adalah pekerja tempatan dan 2,225 merupakan pekerja asing.

Menurutnya, sehingga Mei tahun ini, sebanyak 112 syarikat telah memberhentikan 4,614 pekerja, dengan 2,854 daripadanya adalah pekerja tempatan dan 1,906 pekerja asing.

Antara yang terbabit, sembilan syarikat di Pasir Gudang yang memberhentikan 370 pekerja, 11 syarikat di daerah Kluang dan Mersing yang memberhentikan 194 pekerja tempatan.

"Tiga buah syarikat di Muar turut memberhentikan 123 pekerja iaitu 90 pekerja tempatan dan 33 pekerja asing. Di daerah Batu Pahat, empat syarikat menamatkan perkhidmatan 85 pekerja," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Dr. Shahruddin Md. Salleh (BN-Jorak) dan M. Munusamy (BN-Permas) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kota Iskandar, di sini hari ini.

Asojan berkata, Jabatan Tenaga Kerja negeri telah dan sedang berusaha untuk menghubungi semua pekerja yang diberhentikan dan sehingga kini seramai 2,142 telah berjaya dihubungi.

"Seramai 669 orang telah berjaya mendapat pekerjaan lain, 688 memohon untuk Program Latihan dan Penempatan, 81 orang bekerja sendiri dan 84 bersara, sementara 620 orang lagi gagal dikesan," katanya.

Menurutnya, tindakan pemberhentian kerja adalah satu perkara yang amat ditakuti oleh kebanyakan pekerja dan sebab itu Kementerian Sumber Manusia melancarkan Garis Panduan Pengurusan Pemberhentian Pekerja.

Katanya, garis panduan itu juga memberi pendedahan kepada para pekerja yang diberhentikan mengenai hak-hak mereka di bawah Undang-Undang Buruh.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 25 JUN 2009

Tiada ulasan: