PENGUNJUNG SETIA

18 Jun 2009

KEMBARA MAHKOTA JOHOR JELAJAH PEDALAMAN BERMULA 4 JULAI


TUNKU Ibrahim Ismail Sultan Iskandar diiringi Abdul Ghani Othman merasmikan logo Kembara Mahkota Johor di Persada, Johor Bahru, kelmarin.

JOHOR BAHRU 16 Jun - Tunku Mahkota Johor, Tunku Ibrahim Ismail Sultan Iskandar akan memulakan program Kembara Mahkota Johor edisi ke-11 pada 4 Julai ini.

Kembara Mahkota Johor Jelajah Pedalaman 2009 akan mengambil masa kira-kira 80 jam atau empat hari tiga malam.

Majlis pelepasan diadakan di Bukit Timbalan Johor Bahru pukul 8 pagi pada 4 Julai dan penutupannya pada 7 Julai ini di Kampung Nelayan, Benut, Pontian pukul 1.30 petang.

Program yang bakal disertai oleh 150 peserta itu akan menaiki 40 kenderaan pacuan empat roda.

Sepanjang kembara, rombongan yang terdiri daripada wakil rakyat dan pegawai kerajaan itu menjelajah ke kawasan pedalaman di seluruh 10 daerah di negeri ini.

Sebanyak 11 buah perkampungan Orang Asli dengan tiga buah kampung tradisi akan dilawati, antaranya kawasan Tadahan Air, Gunung Ledang, Tangkak dan Kampung Orang Asli Sayong Pinang, Kota Tinggi.

Tunku Ibrahim Ismail berkata, penyertaan wakil rakyat dan pegawai kerajaan akan memberi ruang kepada mereka untuk melihat sendiri pembangunan yang kerajaan telah laksanakan.

"Hasil daripada lawatan itu nanti, kita akan tengok pembangunan apa yang boleh dilaksanakan. Selalunya Orang Asli ini mahukan infrastruktur, jalan raya, air dan api.

"Kita tengoklah yang mana boleh disempurnakan, tapi jangan mereka minta benda yang tidak munasabah sudahlah kerana negeri Johor ini besar," katanya semasa melancarkan logo program kembara itu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, di sini semalam.

Katanya, di Johor sahaja terdapat lebih 30 buah kampung Orang Asli dan mungkin pada masa depan beliau akan melawat perkampungan lain pula.

Menurutnya, kembara tersebut bertujuan mengeratkan hubungan antara pihak Istana Johor, kerajaan serta rakyat yang tinggal di kawasan pedalaman.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 18 JUN 2009

Tiada ulasan: