PENGUNJUNG SETIA

12 Jun 2009

140 SERTAI KAYUHAN MESRA BUKIT GAMBIR 2009

Naib Ketua UMNO Bahagian Ledang, Abdull Rahim Talib sedang membuat pelepasan peserta Kayuhan Mesra Bukit Gambir 2009, baru-baru ini.

Sebahagian peserta Kayuhan Mesra Bukit Gambir 2009 sedang melalui trek yang disediakan oleh pihak penganjur. (Foto: Adi Sabariman)

MUAR: Kira-kira 140 peserta termasuk ahli Kelab Sosial dan Sukan Berbasikal Maharani, (KSSBM), menyertai Program Kayuhan Mesra Bukit Gambir 2009, di Bukit Gambir, Ledang, kelmarin.


Program sempena cuti persekolahan itu dianjurkan kelab berkenaan bertujuan melahirkan bakat baru dalam sukan berbasikal di kalangan peminat di luar bandar.

Disamping itu, melalui program berkenaan dapat memperkenalkan Pekan Bukit Gambir yang kini rancak membangun dengan pelaksanaan pelbagai projek pembangunan kerajaan dan swasta terutama kepada peserta luar kawasan.

Pengerusi KSSBM, Ng Keng Hwa, berkata peserta yang mengayuh basikal Mountain Bike (MTB) menjadikan jalan kampung di tengah kawasan pertanian dan dusun sekitar Bukit Gambir sebagai trek program ini.

Selain itu, katanya, melalui program ini dapat mengumpulkan peminat berbasikal MTB dari seluruh negara dengan menyertai kegiatan berfaedah sekali gus mengeratkan lagi persahabatan di kalangan mereka.

Beliau berkata, ia kerana program ini turut disertai peserta dari Johor Bahru, Melaka, Negeri Sembilan, Terengganu selain daerah Muar, Ledang dan Segamat.

"Turut menyertai program ini ialah seorang warga emas berusia 68 tahun dan peserta paling muda berusia 13 tahun.

"Selain mendapat sambutan menggalakkan daripada peminat MTB, program ini turut menerima tajaan daripada beberapa syarikat swasta termasuk institusi kewangan," katanya ketika ditemui selepas acara melepaskan peserta program itu, di Bukit Gambir, Ledang, kelmarin. Acara pelepasan peserta disempurnakan oleh Naib Ketua Umno Bahagian Ledang, Abdul Rahim Talib

Keng Hwa berkata, antara sektor kewangan yang menaja program itu ialah cawangan Hongkong & Shanghai Bank Corporation (HSBC) Muar, Hin Lee Enterprise, Muar, Yuen Siang Sdn Bhd, Bio Green Plant Sdn Bhd, Cawanmas Beverage (M) Sdn Bhd dan Syarikat Seng Hin. Muar.

Beliau berkata, trek sejauh 45 kilometer itu bermula dari Pekan Bukit Gambir, menuju ke Sengkang, Kampung Termil, Felda Parit Haji Idris, Kampung Konggo, Sagil, Bukit Banjar, Seri Jaya, Serom 5 dan 8, Parit Pulai, Simpang 5 Darat - Parit Haji Idris - Parit Jarum Darat - Parit Ghani dan berakhir di Bandar Baru Bukit Gambir.

"Sepanjang laluan itu, peserta perlu melalui jalan kebun, mendaki dan menuruni bukit serta parit bagi menguji stamina dan kesabaran, ketahanan mental serta fizikal.

"Acara pelepasan peserta disempurnakan oleh Naib Ketua UMNO Bahagian Ledang, Abdul Rahim Talib," katanya.

Beliau berkata, KSSBM ditubuhkan pada 7 Januari lalu dengan moto Berbasikal Ke Arah Gaya Hidup Sihat, kini mempunyai seramai 130 ahli, bercadang menganjurkan program ini empat kali setahun.

SUMBER: BERITA HARIAN, 12 JUN 2009

Tiada ulasan: