PENGUNJUNG SETIA

30 Jun 2009

TUNKU MAHKOTA UBAH SUAI KENDERAAN HADAPI CABARAN

JOHOR BAHRU 29 Jun - Bagi memastikan Kembara Mahkota Johor (KMJ) Jelajah Pedalaman 2009 berjalan lancar, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ibrahim Ismail Sultan Iskandar Ismail membeli beberapa buah kenderaan pacuan empat roda (4WD) bagi kegunaan bersama ahli keluarga.

Menyedari cabaran penjelajahan itu ke kawasan pedalaman, Tunku Mahkota mengubah suai kenderaan itu agar dapat 'menyahut' sebarang rintangan serta memberi keselesaan semasa kembara berlangsung.

"Selain menyediakan bekalan makanan, beberapa kenderaan telah saya ubah suai dengan dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk telefon satelit.

"Malah, kenderaan saya dilengkapi dengan khemah serta air mandian (shower) yang ada panas dan sejuk," titah Tunku Ibrahim Ismail.

Bagi keselesaan untuk bermalam, Tunku Mahkota turut menempah khas khemah dari Afrika Selatan yang turut dipasang di bahagian bumbung kenderaan berkenaan.

"Kembara kali ini, saya akan pasang sendiri khemah dan masak sendiri makanan. Kalau saudara nak rasa masakan saya, boleh beritahu," titah Tunku Ibrahim Ismail sambil bergurau.

Tunku Mahkota bertitah, rombongan akan berkhemah berhampiran rumah orang kampung sambil menyelami kehidupan mereka.

"Pelbagai aktiviti termasuk acara sukan telah kita susun dan akan diadakan nanti untuk memeriahkan kembara ini," titah Tunku Mahkota.

Ditanya mengenai rahsia kekuatan stamina lebih-lebih lagi bagi mengharungi perjalanan jauh ke kawasan pedalaman, Tunku Ibrahim Ismail bertitah, sebenarnya tiada rahsia khusus, cuma penjagaan kesihatan yang berterusan sepanjang masa.

"Tiada rahsia, cuma paling penting jaga kesihatan, itu saja," titah Tunku Mahkota.

Tunku Ibrahim Ismail mengakui, tiada yang paling menggembirakan selain bertemu rakyat jelata dan mendengar dan dapat membantu menyelesaikan masalah mereka dari hati ke hati.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 30 JUN 2009

Tiada ulasan: