PENGUNJUNG SETIA

05 Jun 2009

DENDAM PUNCA MASYARAKAT BERPECAH BELAH

Sulaiman (kiri), Hamizan dan Syarifah Hayaati dalam Forum Perdana Ehwal Islam di Dataran Dewan Serbaguna Bukit Gambir, Ledang.

MUAR: Masyarakat Islam diingatkan supaya menghindarkan perasaan dendam dan iri hati dengan kejayaan rakan dalam semua bidang kerjaya termasuk perniagaan dan perusahaan.


Sebaliknya mereka perlu menanam semangat untuk berlumba-lumba mengejar kejayaan dan berusaha meningkatkan pencapaian terutama dalam bidang ekonomi dan pendidikan.

Pegawai Tadbir Agama Daerah Ledang, Sulaiman Maidin, berkata perpecahan yang berlaku di kalangan masyarakat Islam sekarang adalah berpunca daripada sifat berdendam dan iri hati di kalangan mereka.

Justeru, katanya, Umat Islam perlu mengamalkan konsep maaf bermaafan dan tidak mengamalkan sikap suka berdendam, kerana amalan itu boleh mengukuhkan perpaduan dalam sesebuah komuniti masyarakat.

"Islam adalah agama perpaduan yang bernilai tinggi dan berkualiti sama ada dari segi ketinggian akhlak dan budi pekerti yang sewajarnya dikekalkan terutama di kalangan generasi muda.

"Langkah menerap nilai murni di kalangan remaja perlu disemai di peringkat awal usia kanak-kanak dengan melatih mereka supaya mengerjakan suruhan agama disamping menghormati ibu bapa dan golongan lebih dewasa," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ceramah selaku salah seorang ahli panel Forum Perdana Hal Ehwal Islam di Dataran Dewan Serbaguna Bukit Gambir, Ledang, kelmarin.

Program anjuran bersama Biro Agama Umno Ledang, Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) Johor dan Umno cawangan Bukit Gambir itu dirasmikan Ahli Parlimen Ledang yang juga Timbalan Ketua Umno bahagian, Hamim Samuri.

Forum bertajuk 'Bersatu kita teguh dan bercerai kita roboh' dikendalikan dua ahli panel iaitu Sulaiman dan Pensyarah Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Syarifah Haayati Ismail serta dipengerusikan Pegawai Runding Cara Pejabat Agama Ledang, Hamizan Sayuti.

Sementara itu, Sharifah Haayati berkata, Islam menggalakkan umatnya supaya bersatu padu kerana amalan itu boleh mengeratkan tali persahabatan dan persaudaraan.

Beliau berkata, perpaduan adalah penting bukan saja dalam sesebuah masyarakat tetapi dalam rumah tangga kerana melalui amalan itu juga boleh mengukuhkan institusi kekeluargaan dan kemasyarakatan.

"Perpaduan di kalangan masyarakat majmuk di negara ini membolehkan rakyat mengecap pelbagai nikmat kemakmuran dan kesejahteraan hasil daripada program pembangunan yang dilaksanakan kerajaan.

"Manakala program keagamaan dan kemasyarakatan pula dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan melalui perpaduan di kalangan masyarakat Islam setempat," katanya.

SUMBER: BERITA HARIAN, 5 JUN 2009

Tiada ulasan: