PENGUNJUNG SETIA

03 Jun 2009

40 PERSATUAN BELIA MUAR, LEDANG JADI AHLI ROY

MUAR: Sebanyak 40 daripada 50 persatuan belia di daerah ini dan Ledang yang menjadi ahli gabungan Majlis Belia Daerah Muar sudah mendaftar dengan Pendaftar Pertubuhan Belia (ROY) sepanjang tahun ini.


Yang Dipertua MBDM, Abu Bakar Mohamad, berkata jumlah itu termasuk 10 persatuan bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Maharani dan Sungai Balang dalam kawasan Parlimen Muar yang didaftarkan awal bulan lalu.

Katanya, sebanyak 30 persatuan lagi membabitkan persatuan belia dalam tiga kawasan DUN dalam kawasan Parlimen Bakri, iaitu Sungai Abong, Bentayan dan Bukit Naning.

"Baki 10 lagi persatuan belia yang masih belum berdaftar dengan ROY ialah di daerah Ledang membabitkan tiga kawasan DUN itu Serom, Tangkak dan Gambir.

"Pendaftaran persatuan belia di DUN berkenaan akan dilakukan sebelum akhir bulan ini," katanya pada majlis Program Seminar Gerakan Pendaftaran Persatuan Belia Bersama ROY membabitkan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pagoh dan Bakri, di Kompleks Penghulu Pagoh, di sini kelmarin.

Majlis berkenaan disempurnakan Pesuruhjaya ROY, Saadon Suradi. Hadir sama, Pegawai Belia dan Sukan daerah, Mohd Shafiq Mohamad Khan dan Setiausaha MBDM, Shalihuddin Abas

Abu Bakar berkata, langkah mendaftar persatuan belia dengan ROY mulai awal Januari lalu selaras peraturan ditetapkan Kementerian Belia dan Sukan mengikut Akta Pembangunan Belia 2008 yang diluluskan Parlimen, tahun lalu.

Katanya, mengikut akta itu, persatuan belia yang sebelum ini berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS) dikehendaki memperbaharui pendaftaran masing-masing melalui ROY mulai tahun ini.

"Kegagalan mendaftar dengan ROY mengikut tempoh ditetapkan boleh menyebabkan persatuan terbabit terlepas peluang menikmati pelbagai kemudahan disediakan terutama dari segi bantuan kewangan dan projek berfaedah kepada ahli," katanya.

SUMBER: BERITA HARIAN, 3 JUN 2009

Tiada ulasan: