PENGUNJUNG SETIA

30 Jun 2009

SYOR PENGURNIAAN TUN UNTUK ONN JAAFAR SEDIA DIPERTIMBANG

KUALA LUMPUR 29 Jun - Perdana Menteri berkata, kerajaan sedia menimbang cadangan pengurniaan darjah kebesaran membawa gelaran Tun kepada pengasas dan bekas Presiden UMNO, Allahyarham Datuk Onn Jaafar.

Menurut Datuk Seri Najib Tun Razak, kurniaan itu amat wajar berdasarkan sumbangan besar beliau ke arah menyatukan rakyat Malaysia dan perjuangan mencapai kemerdekaan negara.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis terhadap soalan Ir. Hamim Samuri (BN-Ledang) pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Onn yang dilahirkan pada 12 Februari 1895 di Bukit Gambir, Muar, Johor pernah bertugas sebagai Pegawai Daerah dalam pentadbiran penjajah British tetapi telah meletakkan jawatan kerana membantah dasar-dasar penjajah.

Beliau merupakan antara tokoh utama yang menentang dasar Malayan Union dan amat aktif dalam gerakan nasionalisme Melayu sehingga membawa kepada penubuhan UMNO

Di bawah kepimpinannya, UMNO berjaya memaksa kerajaan British untuk membubarkan Malayan Union dan diganti dengan Persekutuan Tanah Melayu yang mengekalkan kedudukan Raja-raja Melayu dan memperketatkan syarat-syarat kerakyatan serta memberi hak keistimewaan Melayu.

Onn bagaimanapun mengambil langkah drastik keluar daripada UMNO kerana tidak berpuas hati dengan dasar parti itu yang dianggapnya mempunyai unsur-unsur perkauman.

Apabila beliau mencadangkan keahlian parti dibuka kepada semua penduduk Tanah Melayu tanpa mengira kaum dan nama UMNO ditukarkan menjadi "Pertubuhan Kebangsaan Penduduk Tanah Melayu Bersatu", ia telah ditentang.

Kerana kecewa, Onn meletak jawatan sebagai Presiden UMNO apabila persidangan Majlis Mesyuarat Agung Keenam diadakan pada 25 Ogos 1951.

Beliau kemudiannya menubuhkan Parti Kemerdekaan Malaya (IMP) pada 26 Ogos 1951. Malangnya, parti tersebut tidak mendapat sokongan daripada orang Melayu. Pada tahun 1954, beliau meninggalkan parti itu untuk menubuhkan Parti Negara bagi tujuan bertanding dalam pilihan raya umum yang pertama di Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1955.

Onn mendirikan rumah tangga bersama Datin Halimah Hussein, dan salah seorang daripada anak mereka ialah Allahyarham Tun Hussein Onn, sementara Naib Presiden UMNO kini, Datuk Seri Hishammuddin merupakan cucunya.

Onn meninggal dunia pada 19 Januari 1962 dan dikebumikan di Makam Mahmoodiah, Johor Bahru.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 30 JUN 2009

Tiada ulasan: