PENGUNJUNG SETIA

05 Jun 2009

TINGKAT KESEDARAN PULIHARA ALAM SEKITAR

MUAR: Pelbagai program dilaksanakan kerajaan untuk memastikan alam sekitar terus terpulihara tidak akan berkesan selagi masyarakat kurang kesedaran untuk turut memikul tanggungjawab itu.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata masyarakat hingga ke peringkat akar umbi harus sedar sikap mengabaikan tanggungjawab memulihara alam sekitar hanya merugikan kita sendiri, apabila berlakunya kemusnahan.

“Semuanya kini bergantung kepada manusia. Apa sekalipun sistem kita buat, jika manusia tidak prihatin, masalah pencemaran alam sekitar akan terus berlaku.

“Jika sikap ini berterusan, kita akan rugi kerana bukan saja akan berlaku kemusnahan flora dan fauna, malah kita akan kehilangan sumber air bersih, jika sungai kita terus dicemari,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Rakan Alam Sekitar dan Penganugerahan Sekolah Lestari-Anugerah Alam Sekitar 2007/2008 di Dewan Jubli Intan, di sini, semalam.

Hadir sama, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Douglas Uggah Embas; Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman dan Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Zoal Azha Yusof.

Justeru, beliau berkata, inisiatif Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, mewujudkan program Rakan Alam Sekitar di semua kawasan Parlimen pendekatan terbaik meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan penjagaan alam sekitar di peringkat akar umbi.

Semua wakil rakyat Barisan Nasional (BN) akan mengetuai program berkenaan di kawasan masing-masing manakala bagi kawasan diwakili pembangkang, pemimpin BN tempatan akan memikul tanggungjawab itu.

Beliau berkata, kesedaran harus dipertingkatkan hingga ke peringkat akar umbi kerana masalah pencemaran alam sekitar terutamanya pembuangan sampah serta sisa industri ke dalam sungai, hanya akan menjejaskan kualiti air.

“Kesan pencemaran itu kini membuatkan tujuh sungai antaranya Sungai Pinang, Sungai Juru di Pulau Pinang, Sungai Seget dan Sungai Tebrau di Johor, mengalami pencemaran teruk.

“Kempen menjaga kebersihan sungai sebenarnya sudah lama dilaksanakan kementerian terbabit dan kini kita harus meningkatkan usaha mengawalnya dan paling penting menentukan sungai masih elok supaya tidak turut dicemari,” katanya.

Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan Anugerah Sekolah Lestari kepada Sekolah Kebangsaan Bakri Batu 5, Muar bagi kategori sekolah rendah manakala Sekolah Menengah Kebangsaan (Perempuan) Methodist, Pulau Pinang, bagi kategori sekolah menengah.

SUMBER: HARIAN METRO, 5 JUN 2009

Tiada ulasan: