PENGUNJUNG SETIA

13 Jun 2009

TERUS PELIHARA SEMANGAT PERPADUAN - MB

LEDANG 12 Jun - Masyarakat berbilang kaum di negeri Johor disaran untuk terus memelihara semangat perpaduan yang dinikmati sejak dahulu hingga kini bagi membolehkan keamanan terus terjamin.

Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, persefahaman yang telah diwujudkan antara kaum Melayu, Cina dan India di negeri ini perlu dikekalkan bagi memastikan Johor terus memacu kemajuan.

''Di negeri Johor, kita sudah lama hidup secara aman damai untuk menjadikan negeri kita tempat yang aman damai dan terus maju.

''Amat penting bagi kita semua untuk memelihara perpaduan yang dinikmati untuk masa hadapan sehingga ke anak cucu kita," katanya semasa merasmikan majlis pecah tanah pembinaan pintu gerbang Kuil Subramaniar di Tangkak di sini hari ini.

Turut hadir ialah Exco kerajaan negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Gambir, M. Asojan, Ahli Parlimen Ledang, Ir. Hamim Samuri dan ADUN Tangkak, Goh Tee Tee selain Pengerusi Jawatankuasa kuil berusia 51 tahun itu, K. Gavinder serta setiausahanya, K. Balan.

Menteri Besar turut mengingatkan semua anggota masyarakat supaya tidak terpengaruh dengan dakwaan segelintir pihak yang cuba membawa perubahan di negara ini secara radikal tanpa menghormati keharmonian masyarakat yang telah selama ini wujud.

''Sama ada berasal dari kampung atau ladang, kesusahan hidup kita dahulu telah pun diatasi dan kita kini menjalani kehidupan yang lebih baik," katanya.

''Lebih penting, kita sudah menerima antara satu sama lain dengan penuh rasa hormat dan percaya antara satu sama lain," katanya.

Sementara itu, pada majlis berkenaan, Abdul Ghani turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM500,000 daripada kerajaan negeri bagi membantu menampung kos pembinaan pintu gerbang Kuil Subramaniar serta memperluaskan dewan serbaguna kuil berkenaan.

Menurut beliau, komitmen kerajaan bukan sekadar membantu pembinaan masjid-masjid, malah memelihara kepentingan kaum lain yang memerlukan kuil dan tokong.:

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 13 JUN 2009

Tiada ulasan: