PENGUNJUNG SETIA

13 Jun 2009

ADUN GAMBIR BERI SUMBANGAN KEPADA MANGSA RIBUT

Oleh ADI SABARIMAN

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gambir, M Asojan (kanan) sedang menyampaikan sumbangan peribadinya kepada Ketua Kampung Parit Pulai, Mohd Som Leman, petang semalam.

LEDANG 12 JUN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gambir, M Asojan telah menyampaikan sumbangan peribadinya untuk 32 mangsa ribut di Kampung Parit Pulai, di sini.

Beliau yang juga Exco Kerajaan Johor berkata, sumbangan peribadi itu adalah untuk meringankan beban yang ditanggung oleh mangsa ribut di mana rumah mereka mengalami kerosakan akibat bencana tersebut.

Menurutnya, beliau turut merasai kesedihan yang dialami oleh mangsa ribut itu dan selaku wakil rakyat di kawasan ini beliau akan sentiasa menyelami perasaan penduduk dan sentiasa membantu menyelesaikan permasalahan yang timbul di kampung-kampung di kawasannya.

"Walaupun sibuk dengan tugas sebagai Exco, namun saya tetap tinggal di Bukit Gambir dan berada di Pusat Khidmat Wakil Rakyat setiap Jumaat bagi menyelesaikan masalah yang timbul di DUN Gambir," katanya ketika berucap pada majlis itu yang diadakan di rumah Ketua Kampung Parit Pulai, Mohd Som Leman.

Tambah beliau lagi, kita amat beruntung kerana Kerajaan Negeri serta kepimpinannya amat prihatin dengan setiap masalah yang dihadapi oleh rakyat seperti bantuan yang diberikan kepada mangsa ribut di beberapa buah kampung di kawasan Ledang ini.

Sementara itu, Ketua Kampung Parit Pulai, Mohd Som Leman terharu dengan sumbangan yang diberikan dan ia menunjukkan keprihatinan wakil rakyat terhadap permasalahan yang dihadapi oleh penduduk.

Menurutnya, dalam kejadian ribut pada 23 Mei lalu, sebanyak 32 buah rumah milik penduduk kampung ini rosak akibat bencana ribut.

Beliau bagi pihak setiap mangsa berterima kasih di atas sumbangan yang diberikan oleh YB M Asojan walaupun jumlahnya tidak seberapa namun sedikit sebanyak dapat meringankan beban mereka.

Tambahnya lagi, pihak Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) dan UMNO Bahagian Ledang turut memberi bantuan kepada mangsa dan Jabatan Kebajikan Masyarakat dijangka memberikan bantuan tidak lama lagi.

Tiada ulasan: