PENGUNJUNG SETIA

30 Jun 2009

PERTIMBANG ANUGERAH TUN KEPADA ONN JAAFAR

KERAJAAN bersedia menimbang cadangan pengurniaan Darjah Kebesaran yang membawa gelaran Tun kepada pengasas dan bekas Presiden Umno, Allahyarham Datuk Onn Jaafar.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata pengurniaan itu berdasarkan sumbangan besar Allahyarham menyatukan rakyat Malaysia (ketika itu Persekutuan Tanah Melayu) dan perjuangan mencapai kemerdekaan negara.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada soalan Hamim Samuri (BN-Ledang) yang mahukan penjelasan sama ada kerajaan bercadang menganugerahkan Tokoh Negarawan yang membawa gelaran Tun kepada Onn berikutan jasa dan sumbangannya kepada negara.

Onn yang dilahirkan pada 12 Februari 1895 dilantik Presiden pertama Umno yang ditubuhkan pada 1 Mei 1946 berikutan peranan aktif dalam gerakan nasionalisme Melayu, khususnya penentangan terhadap Malayan Union yang dilihat sebagai ancaman terhadap hak istimewa orang Melayu dan kedudukan Sultan dan Raja-Raja Melayu.

Beliau dilantik Menteri Besar Johor pada 1 Oktober 1946 tetapi meletakkan jawatan tiga tahun kemudian untuk menumpukan perhatiannya kepada Umno.

Menerusi kepemimpinannya, Umno berjaya memaksa kerajaan British membubarkan Malayan Union dan diganti Persekutuan Tanah Melayu. Persekutuan Tanah Melayu 1948 mengekalkan kedudukan Raja-raja Melayu dan memperketatkan syarat kerakyatan, serta memberi hak istimewa Melayu.

Bagaimanapun beliau kecewa dengan apa yang beliau anggap sebagai dasar perkauman Umno dan mencadangkan keahlian parti dibuka kepada semua penduduk Tanah Melayu tanpa mengira kaum dan nama Umno ditukarkan menjadi Pertubuhan Kebangsaan Penduduk Tanah Melayu Bersatu.

Oleh sebab cadangan itu ditentang, Onn meletakkan jawatan sebagai presiden Umno apabila persidangan Majlis Mesyuarat Agung Keenam diadakan pada Ogos 1951.

Beliau kemudian menubuhkan Parti Kemerdekaan Malaya (IMP) pada 26 Ogos 1951. Malangnya, parti itu tidak mendapat sokongan orang Melayu dan 1954 beliau menubuhkan Parti Negara.

Onn memenangi kerusi Parlimen Kuala Terengganu Selatan pada Pilihan Raya Umum 1959.

SUMBER: BERITA HARIAN, 30 JUN 2009

Tiada ulasan: