PENGUNJUNG SETIA

27 Jun 2009

PERSIMPANGAN BARU PARIT ZING

LEDANG 26 Jun - Sebuah persimpangan Lebuh Raya Utara Selatan yang baru akan diwujudkan di kawasan Parit Zing di sini dalam memberi alternatif kepada laluan keluar masuk lebuh raya berkenaan di daerah ini.

Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, projek pembinaan oleh PLUS itu masih lagi dalam peringkat perancangan namun ia dijangka siap pada 2011.

"Rancangan untuk mewujudkan persimpangan Lebuh Raya Plus yang baru ini masih lagi dalam peringkat perangkaan namun lokasi ditetapkan di sekitar Parit Zing," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis perasmian Kedai Kita yang dimiliki Koperasi Peruncitan dan Pembekalan Ledang Berhad di Bukit Gambir di sini hari ini.

Jelas Abdul Ghani, lokasi baru itu dipilih kerana kedudukannya yang terletak berhampiran dengan lebuh raya dan ia membolehkan pengguna untuk lebih hampir kepada bandar Muar serta Bukit Gambir.

Katanya lagi, kewujudan persimpangan lebuh raya yang baru itu secara tidak langsung dapat menyumbang kepada pertumbuhan pembangunan di sekitar kawasan tersebut.

Sementara itu, kata Abdul Ghani, pihak kerajaan negeri memutuskan supaya kawasan landskap di sepanjang Lebuh Raya Ayer Keroh-Merlimau-Jasin yang terletak di daerah Ledang ini diperindahkan lagi.

"Memandangkan, lebuh raya ini merupakan pintu masuk kepada Johor dari Melaka, usaha perlu dilakukan untuk memperindahkan dan pihak berkuasa tempatan Ledang akan menentukan pokok-pokok yang sesuai," katanya.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 27 JUN 2009

Tiada ulasan: