Oleh Junita Mat Rasid
junita@bharian.com.my
Lelaki dikehendaki polis dipercayai terbabit lebih 20 kes jenayah
TANGKAK: Seorang penjenayah yang dikehendaki polis, putus tangan kiri selepas ditetak di paras bahu dalam satu pergaduhan dipercayai dengan beberapa rakannya, sebelum ditinggalkan di sebuah kebun kelapa sawit di Batu 13, Jalan Muar-Tangkak, di sini.
Lelaki berusia 23 tahun itu adalah buruan polis yang dipercayai terbabit dalam lebih 20 kes jenayah termasuk rompakan, samun, ragut serta pecah rumah di sekitar bandar ini, Bukit Gambir serta Sungai Mati.
Dia dikatakan menganggotai kumpulan penjenayah yang seorang daripada anggotanya sudah ditahan polis dan kini menjalani hukuman.
Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang Jumaat lalu, polis pada mulanya menerima maklumat orang ramai mengenai satu pergaduhan di sebuah kebun sawit dan sebaik tiba di tempat kejadian, mereka mendapati mangsa sudah terbaring berlumuran darah.
Selain itu, polis turut menemui sebilah parang berlumuran darah berhampiran mangsa, yang dipercayai digunakan untuk menetak lengan lelaki terbabit.
Siasatan lanjut mendapati lelaki itu berada dalam senarai penjenayah yang dikehendaki polis kerana melakukan beberapa kejadian samun di negeri ini bersama sekurang-kurangnya dua lagi rakannya termasuk seorang sudah ditahan.
Difahamkan, mangsa ditetak dengan parang tajam sehingga menyebabkan hampir keseluruhan tangannya putus daripada paras bahu dan setakat ini, tidak dapat dipastikan sama ada usaha menyambung tangannya dapat dijalankan.
Setakat ini, tidak dapat dipastikan sama ada kejadian tangan mangsa ditetak itu berkaitan pergaduhan mengenai hasil rompakan atau dadah dan polis masih menunggu mangsa pulih sebelum menjalankan soal siasat.
Ketua Polis Daerah Ledang, Superintendan Harun Idris, ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti pembabitan lelaki itu dalam kes rompakan yang dilaporkan di sekitar Tangkak.
Katanya, lelaki itu kini menjalani rawatan lanjut di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) dan polis sudah mendapat perintah menahan reman selama tujuh hari sehingga Jumaat ini.
SUMBER: BERITA HARIAN, 4 MEI 2009
Tiada ulasan:
Catat Ulasan