TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

18 Mei 2009

GERAKAN BESAR-BESARAN MANTAPKAN SEMANGAT JUANG AHLI UMNO

MUAR 17 Mei - UMNO akan melancarkan gerakan besar-besaran untuk memantapkan semangat juang dan gerak kerja ahli-ahlinya dengan menganjurkan kursus latihan di seluruh negara.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, langkah berkenaan adalah antara perubahan penting bagi memperkukuhkan lagi UMNO untuk menghadapi sebarang cabaran dan sebagai persediaan menempuh pilihan raya umum akan datang.

"Perubahan besar-besaran ini membabitkan peringkat bahagian hingga ke cawangan dengan melibatkan setiap ahli dalam modulmodul latihan yang sesuai bagi menyusun jentera parti, gerak kerja, memulihkan semangat, meningkatkan kerjasama dan hubungan antara ahli dan juga di kalangan parti komponen," katanya.

Beliau yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata demikian ketika merasmikan mesyuarat berkelompok cawangan-cawangan UMNO Bahagian Pagoh di Dewan Sri Pekembar di sini hari ini.

Beliau berkata, Naib Presiden parti itu, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi telah diarahkan untuk mengendalikan latihan tersebut serta merta tanpa perlu menunggu waktu menjelang pilihan raya umum pada 2013.

Muhyiddin berkata, latihan yang turut melibatkan sayap parti Wanita, Pemuda dan Puteri diharapkan dapat mengembalikan sokongan serta keyakinan rakyat kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang seterusnya mempertahankan kuasa politik orang Melayu.

Menurutnya, ahli-ahli yang menamatkan kursus tersebut bukan sahaja mempunyai jati diri terhadap perjuangan UMNO yang tinggi, tetapi juga mampu menolak dakyah dan tohmahan parti pembangkang terhadap BN.

"Ini kerana perubahan pertama yang perlu dilakukan ialah perubahan dalam diri, kalau ini dapat dilakukan, kita akan mempunyai ahli-ahli yang kuat bekerja, bersungguh-sungguh dan seterusnya membantu parti meraih sokongan rakyat," katanya.

Menurutnya, setiap ahli terutama di peringkat akar umbi perlu menyedari bahawa tempoh tiga tahun sebelum pilihan raya umum akan datang adalah amat kritikal kerana ia bakal menentukan sama ada kekuatan BN untuk terus memimpin kerajaan pada masa depan.

Beliau memberitahu, antara yang perlu diperkukuhkan ialah hubungan ahli-ahli parti dengan masyarakat dan kerjasama antara parti-parti komponen BN.

"Ahli-ahli perlu sedar bahawa kita tidak boleh berasa selesa bahkan tempoh ini perlu diibaratkan seperti 'telur di hujung tanduk' yang menuntut semua ahli bekerja bersungguh-sungguh," jelasnya.

Justeru, Muhyiddin berkata, sikap hanya memberi laporan berhubung perkara yang baik-baik sahaja bagi menyedapkan perasaan pemimpin perlu dikikis kerana ia hanya merugikan dan memakan diri sendiri.

"Hari ini kita mesti memberitahu yang sebenar, jangan bagi tahu yang elok sahaja, tetapi yang tak elok pun kena beritahu kepada pemimpin.

"Jangan asyik yes sir... ok bos sahaja nanti esok rupa-rupanya K.O bos," katanya.

Beliau berkata, keputusan Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu perlu dijadikan iktibar bahawa rakyat pada waktu ini mahukan perubahan dari segi cara berfikir dan bertindak kerana pengundi kini mempunyai kehendak dan harapan yang tinggi untuk dipenuhi.

Pada masa yang sama, katanya lagi, para pemimpin parti pembangkang terus berkempen walaupun pilihan raya telah tamat untuk terus memburukkan serta melemparkan tohmahan dan dakyah terhadap BN.

"Ini menyebabkan rakyat mempercayai pembohongan mereka dan pada pilihan raya lalu, lima negeri jatuh ke tangan pembangkang," jelasnya.

Menurutnya, UMNO juga perlu mengubah pendekatan dengan mendekati kaum-kaum lain selain daripada kaum Melayu untuk menyelesaikan masalah mereka.

Beliau berkata, ahli-ahli UMNO di negeri yang dikuasai pembangkang pula jangan sekali-kali patah semangat, sebaliknya perlu terus bekerja keras untuk melihat kembali kelemahan dan kesilapan lalu.

Ini, katanya, dapat membina kekuatan termasuk mengatasi isu-isu rakyat yang bukan sahaja berkaitan orang Melayu, tetapi juga kaum lain.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 18 MEI 2009

Tiada ulasan: