TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

18 Mei 2009

PINDAAN PERLEMBAGAAN UMNO HAMPIR SIAP

MUAR 17 Mei - Rangka draf pindaan Perlembagaan UMNO yang antaranya membabitkan rombakan sistem pemilihan jawatan, kuota dan perubahan terhadap Pergerakan Wanita dan Pemuda dijangka siap dalam tempoh satu atau dua minggu ini.

Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, rangka draf berkenaan akan dihantar kepada semua badan perhubungan negeri untuk diteliti bagi tujuan penambahbaikan sebelum tindakan selanjutnya diambil.

"Kalau ada apa-apa yang dicadang, ditambahbaik serta diperelokkan dan dihantar balik kepada Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein sebelum dibawa ke Jawatankuasa Pengurusan UMNO," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengadakan perjumpaan dengan masyarakat India di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Palniappa, Pagoh di sini hari ini.

Timbalan Perdana Menteri berkata, pindaan berkenaan turut mengandungi cadangan sama ada setiap pengerusi badan perhubungan negeri perlu dilantik secara automatik menjadi ahli Majlis Tertinggi (MT).

Muhyiddin berkata, selepas diproses dalam jawatan kuasa tersebut, pindaan berkenaan akan dibawa ke Perhimpunan Agung Khas UMNO yang tarikhnya akan ditentukan kemudian.

Menurutnya, pindaan perlembagaan berkenaan adalah kesinambungan daripada inisiatif beliau semasa menjadi Naib Presiden parti sebelum ini.

"Ini sudah pun dimulakan oleh Hishammuddin selaku Naib Presiden yang dipertanggungjawabkan membawa pindaan perlembagaan. Sebelum ini saya sudah bincang bersama Perdana Menteri dan telah memberikan beberapa maklumat kepada Hishammuddin tentang bentuk pindaan yang dicadangkan supaya selaras dengan undang-undang parti," jelasnya.

Mengenai perjumpaannya dengan masyarakat India dan Cina, beliau berkata, parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) khususnya MCA dan MIC perlu memberi tumpuan kepada soal membantu meringankan beban rakyat.

Katanya, BN perlu menunjukkan kepada rakyat bahawa parti itu sentiasa mementingkan kebajikan rakyat seperti soal menambah pendapatan, pekerjaan dan sara hidup.

"Dalam situasi ekonomi lembap waktu ini rakyat fikir mengenai soal hendak cari makan, jadi kita mesti orientasikan usaha parti untuk membantu rakyat meringankan beban daripada masalah ekonomi atau menambah kegiatan ekonomi, tetapi ini tidak bermakna bidang lain tak penting.

"Jadi saya fikir, kita perlu fokus pada soal kehidupan, pendidikan, pekerjaan, kemudahan dan sebagainya agar kita dilihat parti yang faham dan dapat merasai denyut nadi jantung rakyat," jelasnya.

Dengan cara itu, beliau berkata, rakyat akan dapat merasakan dan mempercayai bahawa BN sentiasa melakukan sesuatu yang mempunyai hubungan dengan mereka secara langsung.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 18 MEI 2009

Tiada ulasan: