TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

17 Mei 2009

GERAKKAN MODEL EKONOMI BERTERASKAN ILMU - MB

LEDANG 16 Mei - Model ekonomi Malaysia yang baru berteraskan ilmu pengetahuan perlu digerak untuk mengelakkan kebergantungan negara kepada tenaga kerja bukan mahir.

Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, penguasaan ilmu adalah aspek penting dalam ekonomi dan ia merupakan nadi kemajuan negara.

"Negara-negara yang menempa kemajuan adalah tinggi penguasaan ilmu dan pengetahuannya.

"Untuk kita berjaya, kita perlu model ekonomi baru yang berdasarkan ilmu, kreativiti dan inovasi rakyat Malaysia," katanya semasa merasmikan Dewan Serbaguna Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Pui Nan di Parit Bunga di sini malam tadi.

Pada majlis itu, Abdul Ghani turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM300,000 bagi melengkapkan lagi kemudahan infrastruktur di sekolah berkenaan.

Dalam pada itu, beliau berharap dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dimansuhkan kerana ketidakberkesanan sistem itu di sekolah rendah.

"Kita tengok anak-anak kita makin sedikit yang lulus dalam Sains dan Matematik.

"Saya berharap Menteri Pelajaran yang baru (Tan Sri Muhyiddin Yassin) dapat meneliti perkara ini... rakyat Johor sudah lama memberi pendirian mereka," katanya.

Terdahulu dalam majlis yang berasingan di Parit Jarum Darat, Bukit Gambir, Abdul Ghani turut merasmikan Surau Ar-Redha di kawasan berkenaan.

SUMBER: MINGGUAN MALAYSIA, 17 MEI 2009

Tiada ulasan: