TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

21 Mei 2009

KESAN PENDUDUK MISKIN - MB


Abdul Ghani Othman menandatangani buku pelawat selepas merasmikan Surau Al Redha, Kampung Parit Jarum Darat, Bukit Gambir, Muar, baru-baru ini.

MUAR 20 Mei - Penghulu dan ketua kampung di seluruh negeri ini diminta mengesan penduduk di kawasan masing-masing yang masih dibelenggu kemiskinan untuk dilaporkan kepada pihak kerajaan.

Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, kerajaan negeri telah mengamanahkan kepada penghulu dan ketua kampung untuk memantau dan mengesan kes-kes penduduk yang masih hidup dalam kemiskinan bagi membolehkan bantuan disalurkan.

''Apabila membaca laporan dalam media masih terdapat penduduk yang daif dan memerlukan bantuan, kita sepatutnya rasa malu kerana keluarga yang daif itu adalah jiran sendiri," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Surau Al Redha dan Balai Raya Parit Jarum Darat, Bukit Gambir, Ledang di sini kelmarin.

Turut hadir Ahli Parlimen Ledang, Hamim Samuri; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gambir, M. Asojan; Pegawai Daerah Ledang, Amran Abd. Rahman dan Ketua Kampung Parit Haji Idris, Ismail Sitam.

Abdul Ghani yang juga Ketua UMNO Bahagian Ledang mengharapkan agar ketua-ketua kampung dapat memaklumkan kepada penghulu sekiranya terdapat keluarga miskin di kampung mereka.

Ini, katanya, bagi membolehkan kerajaan membantu mereka dengan segera.

"Dalam masyarakat kita, ada keluarga yang memerlukan perhatian terutama keluarga daif dan jika ada laporan mengenainya, kita akan bantu mereka daripada pelbagai sudut supaya mereka boleh hidup berdikari dan keluar dari belenggu kemiskinan," tambahnya.

Menurutnya, kerajaan Johor berazam untuk menangani dan menyelesaikan kes-kes keluarga miskin ini sehingga 2010 supaya semua rakyat dapat hidup dengan selesa dan harmoni.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 21 MEI 2009

Tiada ulasan: