|
|
MUAR 20 Mei - Penganjuran Kejohanan Lumba Basikal Kebangsaan Sirkit Jorak di sekitar Muar dan Ledang baru-baru ini berjaya menyemarakkan lagi minat masyarakat luar bandar dalam sukan berbasikal.
Malah itu terbukti mampu menggalakkan lagi penyertaan secara serius masyarakat dalam sukan tersebut.
Kejohanan yang berlangsung pada 9 dan 10 Mei lalu melibatkan kategori lebuh raya serta kriterium yang khusus kepada pelumba-pelumba amatur.
Secara keseluruhannya, sebanyak 169 pelumba dari seluruh negara dan Singapura terlibat dalam sirkit yang kali keempat dianjurkan itu.
Pengerusi Persatuan Lumba Basikal Johor, Datuk Samat Aripin berkata, matlamat penganjuran kejohanan tersebut adalah untuk memberi pendedahan terbaik kepada masyarakat luar bandar mengenai sukan lumba basikal.
''Penganjuran sirkit ini sebenarnya adalah sebahagian daripada kalendar lumba basikal peringkat kebangsaan dan ia melibatkan pelumba-pelumba profesional dan amatur.
''Dengan adanya penganjuran sirkit ini, kita secara tidak langsung dapat mencungkil bakat-bakat pelumba baru yang dapat diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi," katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Menurut beliau lagi, selain dapat membantu mempromosikan aktiviti pelancongan, Sirkit Jorak dapat membentuk kecenderungan masyarakat di Muar dan Ledang untuk terlibat dalam acara sukan itu.
''Memang kami sengaja membuatnya di kawasan luar bandar, sebab di kawasan seperti ini juga banyak peminat-peminat yang mengikutinya," katanya.
Bagi acara lebuh raya yang bermula dan tamat di pekan Pagoh, acara yang dipertandingkan adalah laluan sepanjang 159 kilometer (km), 80km serta 45km yang meliputi pelbagai lokasi mencabar termasuk berbukit.
Sementara itu, dalam acara kriterium, jarak yang ditetapkan adalah sepanjang satu kilometer di sekitar kawasan perumahan Taman Pagoh Jaya.
Kategori-kategori yang dipertandingkan adalah pelbagai termasuk lelaki prajunior, lelaki junior, lelaki senior, terbuka wanita, veteran junior serta veteran senior.
Selain itu, acara kriterium turut mengadakan kategori khas bagi pelajar-pelajar lelaki Sekolah Rendah Pagoh dan Sekolah Menengah Pagoh.
Hadir bagi menyempurnakan acara penyampaian hadiah sirkit berkenaan adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Serampang, Tahir Mohd. Taat serta ADUN Jorak, Dr. Shahruddin Md. Salleh.
SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 21 MEI 2009
1 ulasan:
as-salaam... adakah penganjuran sebegini masih diteruskan... saya berminat untuk mengetahui dengan lebih lanjut. Terima kasih
Catat Ulasan