PENGUNJUNG SETIA

02 Mei 2009

50 TAHUN GUNA AIR PERIGI


NG Ah Baa menunjukkan perigi yang keluarganya terpaksa bergantung berikutan lapan buah rumah yang tidak mempunyai saluran paip air sendiri sejak 50 tahun lalu di Jalan Davis, Kampung Baru Grisek, Ledang, baru-baru ini.

LEDANG 1 Mei - Sebanyak lapan keluarga yang tinggal di Jalan Davis, Kampung Baru Grisek di sini masih bergantung pada sumber air perigi walaupun sudah 50 tahun mereka tinggal di kawasan berkenaan.

Masalah itu berpunca daripada ketiadaan saluran paip yang disambungkan ke kawasan berkenaan dan tindakan penduduk membuat sambungan kecil dari saluran paip berdekatan juga tidak banyak membantu kerana tekanannya pula rendah.

Menurut salah seorang penduduk, Ng Ah Baa, 57, sejak dari kecil lagi, keluarganya terpaksa bergantung pada perigi untuk bekalan air di rumahnya.

"Apa yang menghairankan kami, rumah lain di Kampung Baru Grisek telah mendapat saluran paip mereka sendiri tetapi di Jalan Davis sahaja yang tidak ada.

"Empat buah rumah di jalan ini menggunakan perigi manakala empat lain bergantung pada saluran paip kecil yang dibuat tetapi tekanannya tidak cukup dan airnya terlalu perlahan," katanya di sini hari ini.

Katanya, walaupun menggunakan perigi, keadaan tetap akan menjadi sukar sekiranya bekalan elektrik terputus dan air tidak dapat dipam ke rumah.

"Saya sudah berkali-kali membuat aduan kepada pihak berkenaan namun sehingga sekarang masalah ini tidak pernah selesai," katanya.

Seorang lagi penduduk yang terjejas, Tee Long Chai, 75, berkata, masalah yang sekian lama berlaku itu akan menyebabkan keadaan kelam-kabut bagi keluarganya terutama pada musim perayaan.

"Kalau cuti seperti Tahun Baru Cina, lebih 40 orang anak cucu saya akan balik berkumpul dan masa itu memang cukup susah kerana tekanan air rendah sangat," katanya.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 2 MEI 2009

Tiada ulasan: