PENGUNJUNG SETIA

20 Mei 2009

WARUNG RANAP DIHEMPAP POKOK

Oleh Jamaludin Husin
bhnews@bharian.com.my

Keadaan warung milik Aziz yang ranap dihempap pokok kelapa di Kampung Parit Kassim, Bukit Gambir, semalam.

Peniaga dan pembantu hilang mata pencarian dan kerugian RM10,000

MUAR: Seorang peniaga warung, Aziz Komeng, 45, (gambar) dari Kampung Parit Kassim, Bukit Gambir, Ledang, di sini, hilang mata pencarian apabila warungnya ranap dihempap sebatang pokok kelapa, petang kelmarin.


Dalam kejadian kira-kira jam 4.15 petang itu, pokok kelapa setinggi kira-kira lapan meter di depan warung itu tumbang berikutan angin kencang dan hujan lebat selama kira-kira 10 minit.

Kejadian itu menyebabkan keseluruhan bahagian ruang perniagaan dari depan hingga ke dapur musnah termasuk kerusi meja dan peralatan perniagaan lain.

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan berlaku kerana ketika itu warung berkenaan ditutup dan pemiliknya membantu kerja gotong-royong mendirikan khemah di sebuah rumah penduduk yang akan mengadakan majlis perkahwinan, semalam.

Aziz berkata jika tidak terbabit acara gotong-royong warungnya dibuka dari jam 7 pagi hingga 7 malam setiap hari.

"Saya bernasib baik kerana ketika kejadian warung tidak dibuka, dan jika keadaan sebaliknya, mungkin ada pelanggan yang cedera sama ada dihempap batang kelapa atau mengenai serpihan pelepah dan daun pokok itu.

"Kerosakan yang teruk itu menyebabkan saya mengalami kerugian dan terpaksa menutup perniagaan selama beberapa hari sementara mencari peruntukan memperbaiki kerosakan dan mengganti alat perniagaan yang musnah," katanya.

SUMBER: BERITA HARIAN, 20 MEI 2009

Tiada ulasan: