PENGUNJUNG SETIA

22 Mei 2009

KREATIVITI MENYOLEK MOTOSIKAL ELAK MEREMPIT

Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman sedang meninjau motosikal yang menyertai pertandingan motosikal cantik dalam Mini Autoshow anjuran Pergerakan Pemuda UMNO Cawangan Parit Jarum Darat, Bukit Gambir, baru-baru ini.

Ahli-ahli Pergerakan Pemuda UMNO Cawangan Parit Jarum Darat bergambar bersama Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman selepas menyertai pertandingan motosikal cantik.

Oleh ADI SABARIMAN


LEDANG - Disebabkan minat yang tinggi terhadap sesuatu, seseorang itu sanggup mengeluarkan modal yang banyak semata-mata untuk memenuhi hobi tersebut.

Beberapa orang anak muda di Kampung Parit Jarum Darat, Bukit Gambir, di sini menjadikan minat menghias motosikal mereka dengan teknik 'airbrush' sebagai hobi di waktu lapang.

Menurut Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Cawangan kampung itu, Rudy Iswandi Mohd Nor, minat untuk menghias motosikal dengan tema-tema yang dipilih oleh mereka sendiri menjadikan kenderaan itu nampak menarik dan kreatif dengan lukisan yang kemas.

"Terdapat lebih 10 buah motosikal milik pemuda kampung ini telah dihias menggunakan teknik 'airbrush' dengan lukisan yang menarik dan mereka menggunakan kepakaran serta kreativiti anak muda kampung ini untuk melakukan kerja-kerja tersebut," katanya ketika ditemui pada Mini Autoshow sempena majlis perasmian Surau dan Balai Raya kampung itu, baru-baru ini.

Menurut Rudy, beberapa buah motosikal tersebut telah menyertai pertandingan motosikal cantik anjuran pelbagai pihak dan memenangi hadiah utama dalam kategori yang dipertandingkan.

Katanya lagi, mereka bukan setakat menyertai beberapa pertandingan di sekitar Johor malah di Melaka, Negeri Sembilan dan Selangor.

"Di mana sahaja ada pertandingan motosikal cantik kami akan pergi, soal menang atau kalah itu lumrah pertandingan.

"Melalui aktiviti seumpama ini ia dapat mengelakkan daripada gejala tidak sihat seperti lumba haram atau mat rempit walaupun terpaksa mengeluarkan modal lebih," jelas Rudy yang juga mempunyai sebuah motosikal yang telah disolek.

Menurutnya, sempena Mini Autoshow itu, Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman telah diberi penghormatan untuk memilih pemenang pertandingan motosikal cantik tersebut.
~iNFOLEDANG

Tiada ulasan: