TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

18 Mei 2009

EKSPEDISI DISERANG LEBAH GUNUNG LEDANG

TANGKAK: “Hampir 30 lebah menyerang dan berpusing-pusing di kepala selama sejam dan ketika itu, saya hanya mampu berdiam diri sambil meniarap di tanah,” kata Rosdi Nawi, 45, seorang daripada 21 pendaki yang diserang lebah ketika mendaki Gunung Ledang di sini, petang kelmarin.

Kakitangan Universiti Malaya (UM) itu antara peserta yang menyertai ekspedisi mendaki gunung berkenaan melalui Asahan, Melaka sejak jam 9 pagi kelmarin.

Mereka diserang sekumpulan lebah perantau yang terbang ketika hampir tiba di hentian Padang Batu, kira-kira jam 2.30 petang dan sejam kemudian baru mereka memaklumkan kejadian itu untuk meminta bantuan.

Lima peserta iaitu Zaini Abd Aziz, 31, Wan Mohd Fazly Wan Mansor, 20, Zuhaw Kasa, 41, Shahril Izar, 25 dan Rosdi terpaksa berjalan kaki selama dua jam sebelum diselamatkan pasukan penyelamat yang menunggu berhampiran Menara Telekom sebelum tiba di Hospital Tangkak (HT) kira-kira jam 11.45 malam kelmarin untuk menerima rawatan lanjut.

Selain itu, 16 peserta lain termasuk penuntut dan kakitangan UM serta kakitangan beberapa syarikat swasta meneruskan ekspedisi bermalam sebelum meneruskan pendakian ke puncak untuk melihat keindahan alam semula jadi pada waktu Subuh.

Terdahulu kira-kira jam 6 petang, seorang daripada dua pegawai Renjer Taman Negara, Azman Ithnin, 47, yang dalam perjalanan untuk membantu kumpulan itu cedera ringan apabila terjatuh dan tercucuk tunggul kayu sebelum menyelamatkan mangsa dan menerima rawatan pesakit luar di HT kira-kira jam 7.30 malam.

Rosdi berkata, dia diserang kira-kira 30 lebah yang terbang di atas kepala ketika memanjat tali dari Batu Berlumut yang hanya beberapa meter untuk tiba di kawasan Padang Batu.

SUMBER: HARIAN METRO, 18 MEI 2009

Tiada ulasan: