PENGUNJUNG SETIA

25 Mei 2009

42 RUMAH ROSAK DIPUKUL RIBUT

LEDANG 24 Mei - Sebanyak 42 rumah di kawasan Serom di sini mengalami kerosakan apabila bumbungnya diterbangkan ribut semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3 petang itu, ribut yang disertai hujan lebat turut mengakibatkan tiang-tiang elektrik dan puluhan pokok tumbang sehingga ada yang menimpa rumah penduduk.

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan namun Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dikejarkan ke tempat kejadian untuk membantu penduduk membersihkan kawasan yang terjejas.

Kejadian ribut yang mengejutkan itu berlaku selama kira-kira 20 minit dan ia nyata menggemparkan penduduk yang tidak pernah mengalami keadaan sedemikian sebelum ini.

Menurut seorang penduduk di Kampung Serom 5, Agmain Jais, 53, ketika kejadian dia bersama tiga anaknya berada di dalam rumah.

"Memang terkejut betul kerana sebatang pokok kelapa tumbang menghempap bilik tidur anak saya, Mohd. Huzairi.

"Syukur alhamdullillah, dia tidak mengalami kecederaan, namun pucuk pokok kelapa itu memang sudah masuk ke dalam dan menimpa katil tempat dia baring," katanya yang turut memberitahu dua pokok rambutan di halaman rumah juga tumbang.

Menurutnya, selain itu, bumbung bilik tidur anaknya dan bahagian ruang tamu rosak teruk sehingga bahagian dalam rumahnya bergenang dengan air hujan.

"Masa kejadian itu, dua anak saya yang lain sedang makan dan saya cuma dapat perhatikan sahaja semua yang berlaku kerana ia berlaku terlalu pantas," katanya yang bekerja sebagai seorang tukang kebun.

Sementara itu, seorang lagi penduduk di kampung yang sama, Hadif Azali memberitahu, bumbung rumah dan kedai makannya berterbangan dalam sekelip mata dalam kejadian itu.

Semasa kejadian itu, dia berada di dalam kedai bersama enam lagi pelanggan dan mereka terpaksa pergi ke bahagian belakang rumah untuk berteduh dan menyelamatkan diri.

"Habis barang-barang saya basah. Saya nampak angin kuat itu yang menggoyangkan pokok-pokok tetapi tidak menyangka ia boleh menerbangkan bumbung rumah dan kedai saya," kata bapa kepada lima orang anak itu.

Sebaik dimaklumkan mengenai kejadian itu, Ahli Parlimen Ledang, Ir. Hamim Samuri mengadakan lawatan meninjau keadaan penduduk yang terlibat dalam kejadian itu.

Turut serta ialah Pegawai Daerah Ledang, Amran Abdul Rahman dan Penghulu Serom, Jamaludin Jamil bagi meninjau bantuan yang boleh diberikan kepada mangsa.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 25 MEI 2009

Tiada ulasan: