TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

04 Mei 2009

CRSM JALANI LATIHAN DUA BULAN DI PAGOH

LEDANG 3 Mei - Skuad Bantuan Bencana MCA (CRSM) akan meningkatkan kemahiran para sukarelawannya dengan mengadakan program latihan menyelamat di Pagoh dalam tempoh dua bulan akan datang.

Ketua skuad berkenaan, Datin Paduka Chew Mei Fun berkata, program latihan tersebut dijangka membabitkan lebih 100 sukarelawan yang bukan sahaja dari kawasan Pagoh malah dari seluruh Johor.

Menurut Mei Fun yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, peruntukan sebanyak RM15,000 akan dikeluarkan dari Tabung CRSM bagi membiayai kos latihan tersebut.

"Latihan di kalangan anggota CRSM ini amat penting kerana dalam mereka hendak menyelamatkan jiwa orang lain, mereka juga perlu faham menjaga keselamatan sendiri sebelum memberi pertolongan.

"Harapan kami adalah supaya kemudiannya setiap komuniti masyarakat akan mempunyai jawatankuasa pengurusan bencananya tersendiri agar pertolongan dapat segera dihulurkan," katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas majlis penyerahan bot penyelamat kepada CRSM Parlimen Pagoh di Dewan Serbaguna Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Baru Grisek, Pagoh di sini hari ini.

Menurut Mei Fun, sehingga kini, CRSM telah terlibat dalam pelbagai kerja-kerja bantuan menyelamat termasuk dalam kejadian banjir luar biasa yang berlaku di negeri Johor pada tahun 2006 dan 2007.

"Adalah amat sukar sekiranya kita terpaksa bergantung 24 jam kepada bantuan daripada agensi-agensi kerajaan. Oleh itu CRSM dapat memainkan peranannya kerana ia adalah terdiri daripada ahli komuniti yang mengetahui kawasan masing-masing," katanya.

Sementara itu, bagi melengkapkan kesiapsiagaan CRSM kawasan Parlimen Pagoh, Mei Fun memberitahu, sebanyak lima buah bot telah diagihkan ke kawasan tersebut bagi menghadapi sebarang kejadian banjir.

"Lima buah bot ini diserahkan kepada lima buah kampung di kawasan Parlimen Pagoh kerana ia merupakan pengangkutan yang amat penting kepada penduduk pada waktu bencana," katanya.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 4 MEI 2009

Tiada ulasan: