PENGUNJUNG SETIA

18 Mei 2009

WUJUDKAN MODEL EKONOMI BARU BERTERASKAN ILMU: MB

Oleh Junita Mat Rasid
junita@bharian.com.my


ABDUL GHANI (tengah) merasmikan dewan serbaguna sempena majlis makan malam di SRJK (C) Pui Nan di Parit Bunga, Ledang, baru-baru ini.

TANGKAK: Malaysia perlu mewujudkan model ekonomi baru yang berteraskan kepada penguasaan ilmu pengetahuan bagi mengelak kebergantungan kepada pekerja asing terutama tenaga kerja bukan mahir.

Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman, berkata melalui penguasaan ilmu pengetahuan dapat memastikan negara mampu menjadi negara maju dan pada masa sama boleh mengurangkan pekerja asing.

Katanya, biasanya negara maju memiliki rakyatnya yang mempunyai tahap penguasaan ilmu yang tinggi yang menjadi nadi kemajuan sesebuah negara.

"Sehubungan itu, untuk berjaya, kita memerlukan model ekonomi baru yang boleh mengurangkan kebergantungan pekerja asing. Saya berharap satu hari nanti, kita tidak lagi bergantung kepada pekerja asing," katanya ketika berucap pada majlis perasmian Dewan Serbaguna Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Pui Nan, di sini, semalam.

Pada majlis itu, Abdul Ghani turut mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM300,000 bagi melengkapkan lagi kemudahan infrastruktur di sekolah berkenaan.

Abdul Ghani berkata, kemajuan negara juga bergantung kepada kualiti rakyatnya dari segi ilmu, kreativiti dan inovasi yang boleh dijadikan sebagai model ekonomi negara ini.

Dalam perkembangan lain, beliau berharap Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) di sekolah rendah dapat dinilai semula bagi memastikan murid dapat belajar dengan lebih mudah seperti yang diamalkan SJKC yang turut menggunakan bahasa Mandarin dalam pengajaran mata pelajaran berkenaan.

Katanya, penggunaan bahasa Mandarin itu menyebabkan murid SJKC dapat mencatatkan keputusan lebih baik malah keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) SJKC Pui Nan pada tahun lalu turut mencatatkan keputusan 100 peratus dalam kedua-dua mata pelajaran berkenaan.

"Sebaliknya keputusan kedua-dua mata pelajaran itu di sekolah kebangsaan adalah menurun menyebabkan murid bukan saja tidak dapat belajar Sains dan Matematik dengan baik, malah mata pelajaran Bahasa Inggeris turut terjejas.

"Saya harap Menteri Pelajaran yang baru (Tan Sri Muhyiddin Yassin) dapat meneliti perkara ini kerana kita di Johor sudah lama menyatakan pendirian mengenai perkara itu," katanya.

SUMBER: BERITA HARIAN, 18 MEI 2009

Tiada ulasan: