Oleh Jamaludin Husin
PPP tawar 2,928 kekosongan jawatan semua peringkat
MUAR: Belia termasuk mereka yang hilang pekerjaan akibat diberhentikan berikutan kemelut ekonomi dunia sekarang, berpeluang mendapatkan pekerjaan sesuai sempena Program Penempatan Pekerjaan (PPP) anjuran Pejabat Tenaga Kerja, (PTK) Kementerian Sumber Manusia, esok. (23 Mei)
Program yang diadakan di Institut Latihan Kemahiran Perindustrian (ILP) Sagil, Ledang itu terbuka kepada golongan belia semua kaum termasuk dari luar kawasan iaitu Jasin, Melaka dan Segamat selain daerah ini dan Ledang.
Penolong Pengarah Tenaga Kerja Kanan Muar, Shafee Mohd Noh, berkata setakat ini 24 majikan sudah menawarkan hampir 3,000 kekosongan jawatan dalam sektor masing-masing termasuk tenaga mahir dan profesional.
Beliau berkata, program yang bermula jam 9 pagi hingga 5 petang itu menawarkan 2,928 kekosongan jawatan yang perlu diisi pada semua peringkat pekerjaan bermula daripada pegawai kanan pengurusan dan profesional, juruteknik, perkeranian, perkhidmatan, jurujual dan operator pengeluaran.
"PPP dianjurkan bertujuan memberi peluang majikan mendapatkan pekerja melalui temu duga terbuka di samping menyediakan maklumat kepada orang ramai terhadap perkhidmatan yang disediakan dalam sektor mereka.
"Melalui program itu, orang ramai terutama pekerja yang masih berkhidmat berpeluang membuat pertanyaan mengenai permasalahan undang-undang membabitkan bidang pekerjaan dalam sektor perkhidmatan masing-masing," katanya, di sini, semalam.
Shafee berkata, PPP juga memberi fokus dengan mengutamakan pekerja yang diberhentikan berikutan kegawatan ekonomi bagi menempatkan mereka dalam sektor yang sesuai dengan kelayakan dan pengalaman mereka.
Katanya, program kali ini lanjutan daripada Program Karnival Pekerjaan PTK Muar 2009 yang diadakan di sebuah pasar raya besar di Tanjung Agas, di sini Mac lalu.
Beliau berkata, melalui PPP juga dapat menarik minat pemohon pekerjaan dan majikan mendaftar serta mencari pekerjaan dengan pendaftaran secara online melalui laman web Kementerian Sumber Manusia iaitu www.jobsmalaysia.gov.my.
"Pengunjung dinasihatkan datang awal bagi memastikan mereka dapat membuat pilihan tepat tanpa sebarang tekanan. Jika datang lewat, mereka mungkin menghadapi masalah kesuntukan masa berikutan kelewatan mendaftar untuk temu duga terbuka.
"Program kali ini dijangka mendapat sambutan lebih menggalakkan kerana diadakan di kawasan yang berdekatan dengan penempatan penduduk berbanding di pasar raya sebelum ini," katanya.
SUMBER: BERITA HARIAN, 22 MEI 2009
Tiada ulasan:
Catat Ulasan