hadzlihady@hmetro.com.my
AMPANG: Penyamaran selama tiga minggu sepasukan anggota polis Cawangan Pencegahan Jenayah, Ampang akhirnya membuahkan hasil apabila mereka menahan tiga daripada lima ahli Geng Tangkak yang aktif melakukan kegiatan pecah rumah sekitar Lembah Klang.
Geng terbabit yang semua ahlinya berasal dari Tangkak, Johor ditahan disebuah rumah teres dua tingkat di Pandan Perdana dalam satu operasi diketuai Inspektor Norazman Zakaria Selasa lalu.
Berikutan penahanan tiga lelaki itu, polis berjaya menyelesaikan 60 kes pecah rumah sekitar Lembah Klang.
Kumpulan terbabit menjadikan kegiatan pecah rumah sebagai kerjaya tetap itu sanggup menyewa rumah berkenaan dengan harga RM1,000 sebulan sejak tahun 2008 semata-mata untuk dijadikan stor menyimpan barangan curi.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abd Jalil Hassan berkata, ahli kumpulan Geng Tangkak itu ditahan kira-kira jam 1 tengah hari di rumah sewa mereka.
Katanya, ketika itu, polis mengekori Honda Civic kelabu dinaiki lima lelaki sebelum berhenti di sebuah rumah di Jalan Perdana 7/3, Pandan Perdana.
“Ketika polis menghampiri, semua geng terbabit melarikan diri dan masuk ke rumah berkenaan.
“Polis mengejar semua suspek sebelum berlaku pergelutan dua ahli geng terbabit berjaya meloloskan diri melalui pintu belakang,” katanya pada sidang media di pejabatnya, semalam.
Katanya, pemeriksaan dalam rumah terbabit mendapati pelbagai barangan curi disimpan kumpulan berkenaan hasil kegiatan pecah rumah dilakukan mereka.
Antara barangan dirampas itu enam televisyen LCD pelbagai jenama dan saiz, satu peti besi yang dipecahkan, 45 botol minuman keras, 37 jam tangan, 25 nombor pendaftaran palsu dan pelbagai alatan pecah rumah.
Selain itu, dua kereta turut dirampas dan nilai semua barang itu dianggarkan RM200,000.
Menurut Abd Jalil, kumpulan terbabit menggunakan modus operandi dengan meronda di kawasan perumahan sebelum memastikan rumah yang ingin dipecah masuk tidak berpenghuni.
“Mereka beroperasi menggunakan lima kereta dan sebuah dijadikan kenderaan mengumpul barang curi di kawasan perumahan terbabit.
“Selepas puas dengan hasil curi, kumpulan terbabit membawa barang ke rumah sewa mereka yang dijadikan stor,” katanya.
Menurutnya, polis kini memburu dua lagi suspek digelar sebagai Jackie dan Botak yang melarikan diri ketika serbuan itu.
“Tiga suspek berusia 25 hingga 35 tahun itu direman bagi membantu siasatan bermula kelmarin,” katanya.
SUMBER: HARIAN METRO, 1 MEI 2009
1 ulasan:
cner tu.. nie bdk2 mlayu ke cina ke india.. ishhh ishhh ishh.. tangkak.. sp yg tak kenal.. sistem tangkak ade, geng tangkak ade.. rempit tangkak ade.. akhirnye 367736
Catat Ulasan