Dato’ Kiyai Shamsuddin
Dato’ Kiyai Shamsuddin bin Haji Redzuan adalah seorang tokoh ulama tanahair yang disegani. Beliau lahir di Kepet, Madiun, Jawa Timur pada 11 November 1911. Menimba ilmu dari beberapa pesantren di Pulau Jawa sebelum berhijrah ke Malaysia,, antaranya ialah Pesantren Termas dan Pesantren Tebuireng yang masyhur. Beliau merupakan pendiri Madrasah Shamsuddiniah Assalafiah yang didirikannya pada tahun 1940. Madrasah ini terletak di Kampung Parit Medan, Kundang Ulu, Muar, Johor Darul Takzim dan masih ada sehingga kini. Kini ianya dikenali sebagai Sekolah Menengah Agama Shamsuddiniah.
Selain daripada terlibat terus dalam bidang pendidikan, Dato Kiyai juga pernah memegang pelbagai jawatan penting di Negeri Johor, antaranya sebagai penasihat Sultan, Ahli Jemaah Majlis DiRaja Johor, Ahli Majlis Agama Islam Negeri Johor dan Ahli Jawatankuasa Lujnah Fatwa Negeri Johor. Beliau juga bukan sahaja alim dalam ilmu-ilmu agama, bahkan ahli dalam ilmu-ilmu pertahanan diri. Semasa zaman “Bintang 3″ beliau adalah antara tokoh yang berjuang menentang pihak komunis dan mengerahkan anak-anak muridnya untuk berjuang sama demi mempertahankan maruah agama. Dato’ Kiyai menghembuskan nafasnya yang terakhir pada 1 Ramadhan 1418 (9 Januari 1997) meninggalkan 18 orang anak termasuklah Shohibus Samahah Datuk Haji Mohd. Tahrir, mufti Johor sekarang.
Di antara karya beliau adalah sebuah kitab himpunan sholawat berjodol “Majmuu’atush Sholawaat” yang mengandungi berbagai sholawat yang masyhur termasuklah Sholawat Tafrijiyyah dan Sholawat Syifa`. Pada mukaddimahnya pula disebut, antara lain hadits “lawlak” yang tidak lepas dari khilaf ulama mengenainya. Ada ulama yang mentsabitkannya, ada yang menolaknya dan ada pula yang walaupun tidak mentsabitkannya tetapi menyatakan bahawa maknanya shohih. Insya-Allah wa bi ‘awnihi, nantilah kita cuba bicarakan mengenainya. Apa yang zahir dari karya Dato’ Kiyai ini, beliau nampaknya tergolong dalam kalangan ulama yang mentsabitkan hadits tersebut. Dalam mukaddimahnya tersebut beliau menulis antara lain:-
Sholawat itu satu amalan atau satu ibadah yang sangat-sangat besar pahalanya dan dituntut pada tiap-tiap orang mukminin memperbanyakkan sholawat atas Rasulullah (se)bagaimana firman Allah s.w.t.:
ان الله و ملائكته يصلون على النبي يا ايها الذين امنوا صلوا عليه و سلموا تسليما
Dan tiada syak lagi bahawa Rasulullah itu ‘waashitah’, bahkan Rasulullah itu:
اصل الإيجاد لكل مخلوق
كما قال ذو العزة و الجلال: لولاك لما خلقت الأفلاك
“Asal bagi kewujudan setiap makhluk”, sebagaimana firman Tuhan yang empunya kemuliaan dan kebesaran (yakni dalam hadits qudsi) yang ertinya: ” Jika tidak wujud Rasulullah, Allah ta’ala tidak menjadikan bumi dan langit.”
Sungguh Junjungan Nabi itu adalah sebab bagi kewujudan segala yang ada di alam ini. Maka hendaklah kita sentiasa menjaga hubungan dengan orang yang menjadi sebab bagi kewujudan kita. Malanglah sesiapa yang memutuskan hubungan dengan baginda. Moga Allah merahmati Kiyai Haji Shamsuddin dan menempatkan beliau bersama para sholihin. Allahumma … aamiin … al-Fatihah.
SUMBER: PONDOKHABIB.WORDPRESS.COM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan