PENGUNJUNG SETIA

04 April 2009

3 BERTEDUH BAWAH PONDOK DIPANAH PETIR

Oleh Junita Mat Rasid
junita@bharian.com.my

Dua beranak terpelanting, seorang lagi tidak boleh berjalan dalam kejadian hujan lebat

TANGKAK: Dua beranak bersama jirannya nyaris maut apabila dipanah petir ketika berteduh di bawah pondok ketika hujan lebat, dalam kejadian di kebun buah di Chendarah, Melaka, dekat sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, Azmi Mat Yusuf, 52, anaknya Mohd Saiful Azrul, 24, jiran mereka, Ismail Hamdan, 20, cedera ringan dengan badan kebas dan pening menyebabkan mereka dirawat sebagai pesakit luar di Unit Kecemasan, Hospital Tangkak.

Mohd Saiful ketika ditemui berkata, bahu kanannya kebas dan kepalanya pening serta tekaknya mual hendak muntah akibat daripada kesan panahan petir berkenaan.

"Bahu kanan saya masih sakit dan kebas dan pada masa yang saya kepala saya rasa pening sehingga hendak termuntah," katanya yang enggan mengulas lanjut mengenai kejadian itu berikutan keadaanya yang masih lemah.

Sementara itu anak sulung Azmi, Shahrul, 27, berkata beliau menerima panggilan telefon daripada ayahnya yang sedar selepas pengsan kira-kira 10 minit, akibat terkena panahan petir.

Katanya, kejadian berlaku ketika bapa dan adiknya dengan ditemani Ismail yang juga pembantu mereka, pergi ke kebun limau seluas kira-kira dua hektar kira-kira jam 3 petang semalam.

Beliau berkata, ketika itu bapa, adiknya dan Ismail berteduh di bawah pondok berbumbung zink ketika hujan yang disusuli ribut petir.

"Keadaan hujan itu menyebabkan mereka bertiga berlindung di bawah pondok di kebun itu dan ketika kejadian, Mohd Saiful dikatakan duduk di atas motosikal, manakala bapa dan Ismail di bawah pondok berkenaan," katanya ketika ditemui di Hospital Tangkak.

Katanya, panahan petir itu menyebabkan Mohd Saiful terpelanting jatuh dari motosikal, ayahnya juga terpelanting, manakala Ismail terkena panahan petir di kaki kiri menyebabkan kakinya itu kebas dan tidak boleh berjalan.

Shahrul berkata, ketiga-tiga mereka dibawa ke hospital untuk rawatan.

SUMBER: BERITA HARIAN, 4 APRIL 2009

Tiada ulasan: