LEDANG 14 April - Institusi-institusi masjid di negeri ini boleh memainkan peranan bagi membantu golongan bekas penagih dadah kembali ke pangkuan masyarakat dengan memberi kepercayaan kepada golongan terbabit untuk menjaga keperluan di masjid-masjid itu.
Pengarah Jabatan Agama Islam Johor, A. Rahman Jaafar berkata, pendekatan tersebut amat berkesan bagi membentuk jiwa bekas penagih untuk tidak kembali melakukan perbuatan tidak bermoral di samping mengukuhkan lagi persefahaman masyarakat.
''Anda (pelatih-pelatih pusat serenti) telah dilatih di sini untuk berdikari dan diharap apabila keluar nanti, anda dapat berbakti di masjid-masjid sama ada menghiasi landskap, bercucuk tanam ataupun membantu membersihkannya.
''Oleh kerana itu, saya berharap kepimpinan institusi masjid di peringkat kampung-kampung dapat menggunakan pendekatan ini, agar kita boleh berkongsi kebaikan bersama sebagai umat terbaik," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Penutup Bengkel Pemantapan Kepimpinan Institusi Masjid di Dalam Komuniti Setempat di Pusat Serenti Muar, di sini hari ini.
Hadir sama dalam majlis tersebut adalah Penolong Pengarah (Agama) Agensi Anti Dadah Kebangsaan Malaysia, Mizra Hilmi Abu Bakar serta Komandan Pusat Serenti Muar, V. M. Asok Kumar.
Dalam program bengkel berkenaan, hampir 50 peserta dari institusi-institusi masjid dari seluruh Johor telah mengikutinya dengan mereka juga berpeluang menjalankan aktiviti riadah bersama pelatih-pelatih pusat serenti.
A. Rahman berkata, peranan yang dapat dimainkan oleh institusi masjid untuk memupuk keinsafan bekas penagih tidak sewajarnya disia-siakan demi kepentingan ummah bersama.
''Ada di antara bekas-bekas penagih ini tidak dapat diterima keluarga mereka kembali, kerana itu institusi-institusi masjid perlu bergerak untuk membantu golongan ini,'' katanya.
Di samping itu, tambahnya, golongan bekas penagih juga perlu menjalankan tanggungjawab untuk sentiasa memberi kesedaran kepada masyarakat agar tidak terjebak di dalam kegiatan penagihan dadah.
SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 15 APRIL 2009
Tiada ulasan:
Catat Ulasan