MUAR: Lebih 100 pengguna elektrik sekitar Kampung Rawang, Sungai Senduk dan Parit Pelampong, dalam Mukim Serom, Ledang, di sini, bimbang mereka terpaksa membayar bil elektrik dengan jumlah berganda bagi bulan ini.
Ia kerana sehingga kini mereka belum menerima bil elektrik bagi Februari.
Hamzah Ibrahim, 70, berkata kebiasaannya dia menerima bil pada setiap 20 haribulan bagi bacaan meter untuk bulan sebelumnya.
Beliau berkata, sebagai contoh, bil bacaan meter elektrik di kediamannya bagi tempoh 16 Januari hingga 16 Februari diterima pada 20 Februari lalu.
"Sepatutnya saya menerima bil selanjutnya iaitu bacaan bermula 17 Februari hingga 16 Mac pada pertengahan bulan lalu, tetapi sehingga kini bil itu belum diterima.
"Kelewatan itu boleh menimbulkan masalah kepada pengguna lebih-lebih lagi kami daripada kalangan berpendapatan rendah kerana boleh menyebabkan kadar penggunaan eletrik bertambah," katanya, di sini .
Hamzah berkata, Tenaga Nasional Berhad (TNB) tidak seharusnya melewatkan bacaan meter kerana tindakan itu boleh membebankan pengguna.
Beliau berkata, dengan jumlah bayaran bertambah pengguna menghadapi risiko pemotongan bekalan apabila tidak mampu membayar bil yang berganda dalam tempoh ditetapkan.
Suri rumah, yang hanya mahu dikenali sebagai Pah, 60, turut mendakwa masih belum menerima bil elektrik bagi Februari.
Beliau berkata, dia bimbang jika bil itu dihantar dengan bacaan penggunaan selama dua bulan iaitu Februari dan Mac, jumlah bayarannya sudah tentu meningkat sekali ganda.
"Jika keadaan itu berlaku kemungkinan saya berdepan dengan risiko pemotongan bekalan elektrik di rumah kerana gagal menjelaskan bil yang jumlah bayarannya bertambah.
SUMBER: BERITA HARIAN, 16 APRIL 2009
Tiada ulasan:
Catat Ulasan