TANGKAK: “Apabila terdengar jeritan rumah runtuh, saya yang kebetulan baru selesai solat Isyak terus buka telekung lalu dukung cucu yang main di sebelah dan lari keluar rumah,” kata Zaleha Samat, 54, menceritakan detik cemas apabila dinding rumahnya roboh dilanggar sebuah lori di Batu 8 1/2, Jalan Muar-Tangkak di sini, malam kelmarin.
Kemalangan membabitkan sebuah lori dan dua kereta kira-kira 8.30 malam itu mengakibatkan tiga beranak di dalam sebuah kereta cedera parah dan dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di sini.
Kemalangan dipercayai berlaku apabila sebuah kereta Nissan Cefiro melanggar belakang Perodua MyVi yang berhenti membelok ke kanan, hingga masuk ke laluan sebelah sebelum dirempuh sebuah lori dari arah Tangkak.
Kejadian itu mengakibatkan lori membawa perabot dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Sabak Awor, Muar terbabas masuk ke kawasan rumah yang tidak ditutup pintu pagar sebelum meluncur laju melanggar pagar, pokok bunga dan dinding rumah Zaleha.
Tiga yang tercedera, Mohd Farid Zakaria, 22 dan Nor Isnah, 23, dipercayai hendak balik rumah selepas membawa bapa mereka Zakaria Mohammad, 60, yang tidak sihat ke klinik di Serom di sini, manakala pemandu dan kelindan lori berkenaan hanya cedera ringan.
Ketika rempuhan, Zaleha bersama anak lelakinya Mohammad Taufik Yasabah, 23, dan cucu perempuan berusia setahun setengah, cuba keluar melalui pintu di bahagian dinding runtuh, namun gagal.
Tiga sekeluarga itu terpaksa menggunakan satu lagi pintu di dapur, dan sebaik keluar dikejutkan bunyi beberapa letupan seperti mercun sebelum mendapati tiga mangsa parah jiran mereka.
“Apabila saya toleh ke bahagian belakang rumah, baru saya sedar dinding rumah runtuh dilanggar lori.
“Alhamdulillah saya sekeluarga selamat terutama Taufik yang baru sampai dari Mersing dua jam sebelum kemalangan dan buat kerja di meja komputer hanya lima meter dari dinding runtuh,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.
Sebuah kren mengambil masa hampir dua jam bagi mengeluarkan lori dua tan setengah yang terperosok ke dinding rumah.
Ketua Polis Daerah Ledang, Superintendan Harun Idris mengesahkan kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu.
SUMBER: HARIAN METRO, 4 APRIL 2009
Tiada ulasan:
Catat Ulasan