PENGUNJUNG SETIA

14 April 2009

DANA BANTU PERSATUAN PESARA

MUAR 13 April - Kerajaan negeri akan memperuntukkan RM300,000 bagi membantu Persatuan Pesara Daerah Muar mewujudkan pusat rawatan hemodialisis di sini.

Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, bantuan berkenaan diharap membantu persatuan itu menjalankan khidmat masyarakat dalam menjaga kepentingan golongan pesara.

"Sedikit sebanyak peruntukan ini akan membantu Persatuan Pesara Daerah Muar mendapatkan bangunan serta mesin dalam menawarkan khidmat hemodialisis dari semasa ke semasa.

"Kerajaan negeri sedar kutipan yang dibuat oleh pihak persatuan boleh menanggung sebahagian kos operasi, namun peruntukan awal nyata diperlukan mereka untuk memulakan program ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Jamuan Mesra anjuran Biro Pembangunan Ekonomi dan Kewangan Persatuan Pesara Daerah Muar di Sekolah Tinggi Muar di sini kelmarin.

Turut hadir, Pegawai Daerah Muar, Mislan Karmani dan Ketua Persatuan Pesara Daerah Muar, Othman Mustafa.

Abdul Ghani berkata, kerajaan negeri mengalu-alukan langkah persatuan berkenaan untuk membuka pusat yang dapat memberi rawatan kepada para pesakit buah pinggang.

"Kemudahan seperti ini masih banyak diperlukan dan saya amat menghargai komitmen yang diberikan NGO (pertubuhan bukan kerajaan) bagi bersama-sama membela kelompok masyarakat yang ada," katanya.

Beliau berkata, pihak kerajaan negeri juga memandang serius keperluan masyarakat bagi rawatan hemodialisis dengan peruntukan RM1.5 juta dibelanjakan setiap tahun bagi menanggung kos operasi rawatan itu di seluruh negeri.

"Perkara ini kita lihat secara meluas kerana rawatan bukan saja diberikan kepada kakitangan dan bekas kakitangan kerajaan, malah ahli keluarga mereka," katanya.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 14 APRIL 2009

Tiada ulasan: