Oleh Junita Mat Rasid
junita@bharian.com.my
TANGKAK: Pemilik premis perniagaan termasuk kilang dan pejabat perlu mematuhi peraturan melengkapkannya dengan alat pemadam kebakaran, malah memastikan kakitangan mereka mengetahui langkah penggunaannya dan pencegahan bagi membantu memadam kebakaran.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Ab Ghani Daud, berkata pada masa ini tahap kesedaran langkah penggunaan alat pemadam kebakaran adalah rendah sehingga menjadikan kewujudannya hanya sekadar mematuhi syarat pembinaan bangunan.
Katanya, selain didedahkan dengan ciri keselamatan sesebuah bangunan yang boleh mengelak berlaku kebakaran termasuk memeriksa sistem pendawaian dan suis elektrik, pengetahuan mengenai penggunaan peralatan memadam kebakaran juga penting bagi membantu memadam kebakaran dengan cepat.
"Melalui penggunaan alat pemadam kebakaran itu dapat membantu ketika kebakaran baru berlaku. Sebaliknya setiap kali kebakaran, kakitangan premis akan terus melarikan diri kerana mereka tidak mempunyai kemahiran atau langsung tidak tahu menggunakan peralatan itu," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan rasmi di Balai Bomba dan Penyelamat Tangkak, di sini, semalam.
SUMBER: BERITA HARIAN, 16 APRIL 2009
Tiada ulasan:
Catat Ulasan