PENGUNJUNG SETIA

20 April 2009

MB CABAR BELIA BUAT PROJEK BESAR

Oleh Junita Mat Rasid
junita@bharian.com.my

Dua projek dicadang ialah tubuh pancaragam dan kendali taman tumbuhan

TANGKAK: Belia kawasan daerah Ledang dicabar supaya mengadakan program berskala besar dan membabitkan pelbagai kaum dalam pelbagai kegiatan yang memberi manfaat bersama termasuk mengendalikan taman tumbuhan serta mewujudkan pasukan pancaragam.

Cabaran itu dikemukakan Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Serom ketika berucap pada merasmikan Majlis Perundingan Belia Daerah Ledang, di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Sagil, di sini kelmarin.

Abdul Ghani berkata, antara program yang boleh diadakan selain membabitkan kegiatan sukan, kebudayaan dan wajadiri, belia kawasan itu juga boleh mengadakan pelbagai lagi program besar.

Katanya, pasukan pancaragam yang dianggotai semua kaum yang mahir dalam pelbagai jenis peralatan muzik yang berkaitan menjadi antara kegiatan yang boleh dijalankan oleh belia kawasan itu.

"Saya cabar belia Ledang supaya mewujudkan satu pasukan pancaragam belia yang menggabungkan penyertaan orang Melayu, Cina dan India sama ada yang pandai dalam bidang itu atau diberi tunjuk ajar.

"Saya cabar mereka supaya pancaragam di kalangan belia itu diberi masa setahun untuk mahir sebelum boleh menayangkan kemahiran mereka untuk memainkan pelbagai lagu dalam pelbagai bahasa," katanya .

Abdul Ghani juga mencadangkan supaya belia Ledang tanpa mengira kaum supaya membangunkan sendiri taman seluas kira-kira 3.2 hektar dengan tumbuhan hutan yang bukan saja boleh menjadi tempat penyelidikan hutan, malah memberi peluang kepada mereka untuk menghayati serta menghargai alam sekitar.

Katanya, sebagai belia, mereka perlu prihatin kepada persekitaran dan pada masa sama mengambil langkah sewajarnya sebagai sumbangan mereka dalam memastikan alam sekitar tidak dicemari dan dipertahankan.

Selain itu, katanya, persatuan belia di peringkat negeri, daerah atau kampung perlu memastikan supaya mereka menjalankan pelbagai kegiatan dan tidak membiarkan persatuan itu terbiar saja.

"Tiada guna jika sesuatu program dilancarkan secara besar-besaran pada peringkat kebangsaan atau negeri jika ia tidak sampai ke peringkat belia daerah atau kampung kerana ia menunjukkan kegagalan program yang tidak disambut baik oleh semua belia," katanya.

Beliau mengakui ada beberapa persatuan belia di peringkat daerah yang tidak aktif sehingga perlu diwujudkan kembali dan perkara itu tidak sepatutnya berlaku jika semua belia gembleng tenaga mengadakan program yang berkaitan dengan keperluan mereka atau minat masing-masing.

"Saya harap dapat menyuntik minat dan semangat kepada belia dalam pelbagai program dan jika memerlukan peruntukan, saya bersedia membantu supaya lebih banyak gelanggang diwujudkan untuk pelbagai kegiatan termasuk wajadiri atau yang berkaitan," katanya.

Beliau percaya jika lebih banyak kegiatan berkaitan belia dapat diadakan bersesuaian dengan minat, maka lebih ramai lagi yang akan membabitkan diri dalam persatuan belia yang sekali gus dapat membantu pembentukan jati diri mereka.

SUMBER: BERITA HARIAN, 20 APRIL 2009

Tiada ulasan: