PENGUNJUNG SETIA

12 April 2009

RAKYAT JOHOR LABUR RM8 BILION DALAM PNB


ABDUL Ghani Othman menyempurnakan penanaman pokok pada pelancaran Majlis Bersama Kumpulan PNB di Taman Suria, Ledang, kelmarin.

LEDANG 11 April - Kira-kira tiga juta rakyat Johor kini menjadi pelabur pelbagai saham amanah Permodalan Nasional Berhad (PNB) dengan nilai pelaburan berjumlah RM8 bilion.

Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, jumlah tersebut mewakili 10 peratus daripada jumlah pelaburan sebanyak RM80 bilion yang diuruskan PNB di negara ini.

Katanya, kejayaan PNB dalam memperoleh keyakinan rakyat di negara ini membolehkan program pengagihan kekayaan bagi setiap lapisan masyarakat berjaya direalisasikan.

''Sejak PNB ditubuhkan 30 tahun lalu, kita sebenarnya mempunyai kerajaan yang sentiasa memikirkan langkah untuk memakmurkan negara melalui pengagihan harta dan kekayaan serta bagaimana rakyat dapat mengecapinya," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Bersama Kumpulan PNB di Taman Suria, Sungai Mati di sini semalam.

Hadir sama Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman.

Abdul Ghani mengalu-alukan pelbagai program yang dijalankan PNB bagi memberi kefahaman kepada masyarakat mengenai pelaburan secara mendalam.

''Dengan berlangsungnya Minggu Saham Amanah Malaysia 2009 di Johor Bahru selama 10 hari mulai 17 April ini, kita percaya rakyat akan memperoleh pelbagai faedah menerusi pameran dan acara yang diadakan," katanya.

Sementara itu, Hamad Kama Piah berkata, pendekatan utama PNB ialah sentiasa mendidik masyarakat berhubung kepentingan pelaburan serta memahami konsep risiko dan pulangan.

''Kita mahukan masyarakat mempunyai ilmu dan betul-betul memahami konsep pelaburan. Oleh sebab itu, PNB menjelajah seluruh negara bagi mengadakan ceramah dan pameran," katanya.

Menurutnya, pada masa yang sama, PNB juga komited untuk terus menjadi kumpulan permodalan yang dapat memberi pulangan yang kompetitif kepada para pelaburnya.

SUMBER: MINGGUAN MALAYSIA, 12 APRIL 2009

Tiada ulasan: