PENGUNJUNG SETIA

24 April 2009

USAHA MEMARTABATKAN SILAT MESTI BERTERUSAN

Oleh Jamaludin Husin
bhnews@bharian.com.my

Penyertaan generasi muda hidupkan semula seni warisan

MUAR: Usaha memartabatkan silat, sebagai seni warisan bangsa terutama di kalangan generasi muda mesti dilakukan secara berterusan supaya budaya bangsa itu tidak pupus ditelan zaman.

Langkah menubuhkan pasukan seni silat juga selaras dengan hasrat kerajaan negeri untuk menghidupkan kembali kesenian dan kebudayaan rakyat zaman silam yang semakin dilupakan generasi masa kini.

Justeru, penyertaan dalam pasukan seni silat tidak boleh dilihat bertujuan menunjukkan kekuatan atau berlagak hero jika terbabit dalam pergaduhan, sebaliknya untuk memartabatkan kembali seni warisan bangsa itu.

Kampung Bukit Kangkar di sini, iaitu kampung kelahiran pengasas Seni Silat Sendeng Malaysia, Allahyarham Abdul Hamid Hamzah, kini menggiatkan usaha mengetengahkan seni warisan bangsa itu di kalangan penduduk setempat.

Penolong jurulatih pasukan Seni Silat Sendeng, Bukit Kangkar, Sungai Mati, di sini, Rozaidi Othman, 22, berkata remaja yang berbakat dalam bidang kesenian dan kebudayaan seharusnya digalakkan menyertai pasukan seni dan budaya yang ditubuhkan dalam kawasan masing-masing, termasuk pasukan seni silat.

Sehubungan itu, beliau berharap masyarakat tidak tersalah anggap apabila ramai remaja sekitar kawasan perkampungan dan pekan di daerah ini yang menyertai pasukan seni silat di kawasan berkenaan.

Katanya, pasukan Seni Silat Sendeng Bukit Kangkar, ditubuhkan empat tahun lalu dengan disertai 50 remaja lelaki dan perempuan berusia lapan tahun hingga 16 tahun.

"Persatuan itu ditubuhkan bertujuan mengembangkan serta memperkasakan kesenian silat yang menjadi warisan bangsa Melayu zaman berzaman itu, supaya tidak pupus di telan zaman.

"Penubuhannya dapat menanam semangat remaja supaya cinta dan tidak memperlekehkan kesenian Melayu, sekali gus mengangkat martabat bangsa dalam bidang seni silat di persada antarabangsa," katanya..

Rozaidi berkata, sejak ditubuhkan, pasukan itu sering menerima undangan untuk mengambil bahagian dalam acara persembahan, termasuk majlis sempena sambutan hari kebesaran seperti Hari Kemerdekaan di peringkat daerah.

Katanya, pasukan itu yang menjalani latihan setiap Sabtu dan Ahad malam di gelanggang silat Kampung Bukit Kangkar, sejak kebelakangan ini menerima banyak undangan bagi menyerikan majlis perkahwinan, bukan saja di daerah ini dan Ledang serta sekitar Johor Bahru, malah hingga ke Selangor dan Melaka.

Beliau berkata, kesenian silat sendeng terbahagi kepada beberapa jenis jurus silat, termasuk seni mempertahankan diri, silat sembah kepada pembesar, silat peradaban pengantin dan seni silat tarian.

Katanya, ada antara anggotanya yang cekap bermain senjata dibenarkan menggunakan keris ketika mempersembahkan seni silat mempertahankan diri dengan iringan paluan gong dan gendang.

Seorang peserta, Mohd Faizal Roslan, 19, berkata penyertaannya dalam pasukan Seni Silat Sendeng bukan bertujuan untuk bermegah dengan rakan lain, sebaliknya mahu terbabit dalam usaha meningkatkan martabat kesenian itu.

"Ini kerana seni Silat Sendeng mempunyai beberapa jurus yang sesuai di pelajari remaja, terutama kesenian peradaban dan kesopanan ketika mempersembahkan silat.

"Melalui kesenian ini, remaja dapat membentuk jati diri dan meningkatkan mutu disiplin terutama ketika menjayakan persembahan," katanya.

Norfarahanis Saharia Ahmad Saleh, 13, berkata, penyertaannya dalam pasukan seni silat tidak mengganggu pelajaran sekolahnya kerana masa berlatih adalah pada malam hujung minggu dan beliau hanya menyertai persembahan pada musim cuti persekolahan.

Rakannya, Norameera Nadjwa Mohd Razali, 13, berkata kesenian silat sendeng yang dipelajarinya boleh dijadikan sebagai `senjata' untuk mempertahankan diri terutama jika membabitkan kes ragut yang sering berlaku kepada wanita.

SUMBER: BERITA HARIAN, 24 APRIL 2009

Tiada ulasan: