PENGUNJUNG SETIA

06 April 2009

BADAN LEBAM DIROTAN GURU GARA-GARA MAIN GUNTING

MELAKA: Gara-gara bermain gunting sehingga mencederakan rakannya, seorang murid lelaki berusia 11 tahun dari sebuah sekolah tahfiz di Tangkak, Johor, lebam hampir keseluruhan badan akibat dirotan guru agamanya yang marah dengan kejadian itu.

Mohamad Nor Harezal Mohd Faizal yang belajar di Sekolah Tahfiz Al-Quran Al-Mizan di Kesang Darat, dikatakan dirotan sebanyak 25 kali termasuk di betis, belakang, punggung, tangan dan peha dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi, Sabtu lalu.

Berikutan itu, ibu murid terbabit, Noormala Budin, 27, dari Taman Debunga Merlimau, Jasin, dekat sini, membuat dua laporan polis iaitu di Balai Polis Sungai Mati, Muar, dan Balai Polis Tangkak, Johor, sehari selepas itu.

Ketika ditemui di rumahnya petang semalam, Noormala mendakwa, akibat kejadian itu, anaknya mengalami kesakitan yang amat sangat sehingga sukar untuk tidur malam, selain tidak dapat berjalan dan melakukan pelbagai aktiviti lain.

Katanya, beliau hanya menyedari nasib menimpa anaknya apabila mereka bersiap untuk menghantarnya pulang ke sekolah berkenaan pada petang Ahad lalu, selepas mengambilnya beberapa jam sebelum itu.

"Mulanya saya hanya melihat lebam pada tangan, tapi tidak mengesyaki apa-apa. Kebetulan pula Mohamad Nor Harezal tidak memberitahu apa-apa sehinggalah, neneknya meminta dia membuka baju bagi memastikan punca lebam.

"Sebaik saja dia habis membuka bajunya itu, kami semua terperanjat sebab rupanya hampir seluruh badannya ada kesan lebam. Mulanya dia enggan memberitahu kami puncanya, tapi selepas didesak beberapa kali, barulah dia maklumkan ia gara-gara dirotan guru agamanya Sabtu lalu.

"Melihat begitu banyak kesan lebam itu pada badannya, saya terus sebak dan semacam tak percaya ada orang yang sanggup berbuat perkara seperti ini. Selepas berbincang dengan ahli keluarga lain, kami akhirnya memutuskan membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan dilakukan.

"Kami juga sudah memaklumkan identiti guru itu berdasarkan maklumat diberikan Harezal," katanya.

Noormala yang juga ibu tunggal dan tidak berhenti menangis sepanjang pertemuan itu, mendakwa akibat kejadian berkenaan, anak sulungnya itu kini trauma untuk meneruskan pembelajarannya di sekolah agama berkenaan. Beliau bagaimanapun mengesahkan sudah menghantar anaknya itu mendapat rawatan di Hospital Tangkak, Ahad lalu.

Dalam pada itu, Mohamad Nor Harezal yang turut bersama ibunya ketika sesi temubual itu, menunjukkan kesan lebam pada bahagian badannya kepada wakil media.

Dia yang kelihatan agak pucat menceritakan, pada mulanya beliau bersama dengan rakannya sedang bermain gunting di surau sekolah itu dengan cara membalingnya. Bagaimanapun secara tiba-tiba ia terkena tangan rakannya itu, lalu mencederakan satu jarinya.

Kejadian itu kemudian dilaporkan kepada guru agamanya yang kemudian datang dengan membawa sebatang rotan. Selepas bertanyakan mengenai kejadian itu, guru itu kemudian mengambil keputusan merotan beliau sebanyak 25 kali dalam keadaan duduk mencangkung.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ledang, Johor, Superintendan Harun Idris ketika dihubungi malam tadi mengesahkan pihaknya ada menerima laporan mengenai kejadian itu dan sedang menjalankan siasatan lanjut mengenainya.

SUMBER: BERITA HARIAN, 6 APRIL 2009

Tiada ulasan: