MERLIMAU: “Saya merayu, jangan ustaz, sakit, tapi dia terus rotan saya tanpa henti. Saya hanya mengetap bibir menahan sakit dan menjerit Allahuakhbar! Allahuakhbar!,” kata Mohamad Norharezal Mohd Faizal, 11, yang mendakwa menjadi mangsa dera guru agamanya, pagi Sabtu lalu.
Pelajar sekolah agama swasta di Muar, dekat sini, itu mendakwa dirotan lebih 20 kali oleh ustaz berusia 40-an itu kerana secara tidak sengaja mencederakan rakannya ketika bermain gunting di surau yang dijadikan kelas mengaji al-Quran.
Akibatnya, anak sulung daripada tiga beradik itu bengkak, lebam serta berbirat pada badan, paha kiri, kaki kiri dan kanan, tangan kiri dan belakang punggungnya.
Menceritakan kejadian itu, Mohamad Norharezal berkata, ustaz memarahinya kerana membuatkan seorang rakan cedera apabila gunting yang dibaling ke dinding melantun lalu mengenai jarinya hingga terluka dan berdarah.
Katanya, dia menolong rakannya dan menggunakan jubah untuk menadah darah serta membasuh luka dengan air.
“Sebelum itu, saya bermain belon dan apabila bosan, saya masuk kelas sebelum seorang rakan senior menyuruh saya solat.
“Ketika itu, saya melihat seorang rakan tidak solat, tetapi saya hanya diam. Saya membaling gunting ke dinding untuk bergurau tapi gunting itu melantun dan terkena jari rakan dan luka. Saya tidak berniat berbuat begitu terhadapnya,” katanya.
Menurutnya, ketika dia membasuh luka rakannya, dua rakan beritahu ustaz mengenai kejadian terbabit.
“Ustaz bertanya mengapa tangannya luka dan dia memberitahu saya yang buat, lalu saya dirotan,” katanya ketika ditemui di rumah datuknya di JTaman Debunga, Merlimau dekat sini, petang semalam.
Ketika dirotan di surau berkenaan, kata Mohamad Norharezal, beberapa rakannya hanya mampu melihat kerana mereka pernah diberi ingatan merahsiakan jika ada mana-mana pelajar dirotan.
Selepas dirotan, Mohamad Norharezal berkata, dia terpaksa dipapah rakannya serta bersolat secara duduk kerana kesakitan.
Ini kali pertama dia dirotan dengan teruk dan tidak ingin menyambung kelas di sekolah itu.
Sementara itu, ibunya, Noormala Budin, 27, yang juga seorang ibu tunggal kesal tindakan tidak berperikemanusiaan ustaz yang turut memberi ingatan tegas hingga menakutkan anaknya serta pelajar.
Katanya, dia difahamkan perbuatan merotan pelajar di sekolah itu bukan baru, tetapi tidak didedahkan.
“Anak saya baru masuk ke sekolah ini selepas Aidilfitri tahun lalu dan saya membayar yuran bulanan RM170.
“Sebenarnya anak saya langsung tidak bercerita dia dirotan sebegitu teruk. Saya hanya perasan paha, belakang badan, tangan dan kaki bengkak dan lebam ketika dia menukar jubah untuk dihantar balik ke sekolah semalam (kelmarin).
“Saya tidak kisah jika ustaz merotan anak saya untuk mengajarnya, tetapi gunakanlah pertimbangan dan janganlah sampai mencederakan hampir seluruh anggota badannya,” katanya.
Berikutan kejadian itu, dia bercadang memindahkan anaknya ke sekolah lain berikutan hampa melihat anaknya yang ingin dijadikan seorang tahfiz dirotan teruk.
Datuk mangsa, Budin Mustaffa, 49, berkata selepas diberitahu kejadian itu, dia terus menghubungi pengetua sekolah agama itu untuk bertanya perkara berkenaan.
“Pengetua sekolah terbabit berjanji akan menyiasat perkara itu. Saya kemudian menghubungi Balai Polis Merlimau dan diarahkan membuat laporan di Balai Polis Sungai Mati kira-kira jam 9 malam semalam (kelmarin) sebelum kes dirujuk ke Balai Polis Tangkak.
“Selepas laporan dibuat di Balai Polis Sungai Mati, saya diarah berjumpa pegawai penyiasat di Balai Polis Tangkak. Selepas keterangan diambil saya diarah membawa cucu membuat pemeriksaan di Hospital Tangkak,” katanya.
SUMBER: HARIAN METRO, 7 APRIL 2009
Tiada ulasan:
Catat Ulasan