PENGUNJUNG SETIA

15 April 2009

SELAMATKAH LAGI BAS EKSPRES?


KEMALANGAN yang melibatkan sebuah bas ekspres di kilometer 443 Rawang menghala ke Kuala Lumpur, kelmarin.


KEMALANGAN maut membabitkan bas ekspres berlaku lagi. Sebut sahaja bas ekpsres, sudah tentu ia meragut banyak nyawa.

Tragedi yang berlaku di Kilometer 443, Lebuh Raya Utara Selatan antara Bukit Beruntung ke Rawang, Selangor awal pagi kelmarin meragut enam nyawa - lima penumpang dan seorang pemandu bas.

Kali terakhir kemalangan membabitkan bas ekspres yang meragut banyak nyawa ialah di Kilometer 146.5, Lebuh Raya Utara Selatan antara Tangkak dan Pagoh, di Johor pada 7 Disember lalu yang meragut 10 nyawa.

Selepas empat bulan, tragedi bas ekspres kembali berulang. Apa yang menyedihkan kali ini ialah tiga daripada mangsa yang meninggal dunia disebabkan tusukan besi penghadang lebuh raya yang terperosok ke bahagian bawah kenderaan dua tingkat itu.

Insiden itu berlaku sekitar pukul 5 pagi. Bas tersebut dalam perjalanan dari Changlun, Kedah menghala ke ibu negara. Sudah tidak jauh jaraknya untuk sampai ke Hentian Puduraya.

Adakah faktor mengantuk menjadi penyebab kepada kemalangan ini?

Difahamkan, pemandu kedua bas itu sudah bertukar di Slim River. Bas ekspres itu nampaknya mematuhi peraturan yang ditetapkan iaitu mempunyai dua pemandu untuk perjalanan yang jauh.

Malangnya, hasil siasatan polis mendapati, pemandu pertama dan kedua bas itu mempunyai beberapa saman trafik di atas pelbagai kesalahan termasuk waran tangkap.

Kenapa pihak syarikat masih menyimpan pemandu yang mempunyai rekod kesalahan trafik? Malah, mereka dibiarkan membawa seramai 33 penumpang yang tidak berdosa. Nyawa penumpang di tangan mereka dan lima daripadanya sudah terkorban.

Bukan maksud kita hendak meletakkan kesalahan itu kepada pemandu bas itu, kerana ajal dan maut itu sebenarnya sudah ditentukan oleh Tuhan.

Tetapi, jika boleh dielak, kita perlu melakukan sesuatu supaya penumpang tidak lagi berasa gentar, bimbang dan cuak untuk menaiki bas ekspres, khususnya untuk perjalanan jauh.

Bas ekspres adalah satu-satunya pengangkutan awam yang murah, mudah dan banyak dan popular di kalangan rakyat negara ini - khususnya untuk perjalanan jarak jauh.

Apa akan jadi jika masyarakat takut untuk menggunakan khidmat bas ekspres selepas ini. Tidak mustahil kebimbangan ini berlaku kerana dengan berita-berita mengenai nahas yang sering dilaporkan, pengguna merasa tidak lagi selamat untuk menggunakan bas, walaupun ia menjimatkan masa dan wang.

Kerajaan sebelum ini pernah mengarahkan supaya bas ekspres yang ingin membuat perjalanan jauh supaya mengadakan perjalanan pada waktu siang.

Lembaga Pelesenan dan Kenderaan Perdagangan (LPKP) pernah mengarahkan supaya semua bas ekspres dilarang memulakan perjalanan selepas jam 9 malam hingga 7 pagi mulai perayaan Tahun Baru Cina pada tahun 2004.

Arahan itu pernah mendapat bantahan sesetengah pihak, dengan alasan bahawa ia akan merugikan syarikat bas ekspres yang sering beroperasi pada waktu malam.

Arahan itu cuma tinggal arahan, dan bas ekspres kini seperti sediakala banyak memulakan perjalanan pada waktu malam.

Meskipun dibekalkan dengan dua pemandu, di mana mereka akan bertukar tugas di tengah perjalanan, ia tidak cukup untuk mengelak daripada kemalangan.

Penulis merasakan mana-mana pembaca pasti bersetuju bahawa bas ekspres (khususnya yang berjalan malam) 'menguasai' lebuh-lebuh raya dengan kadar kelajuan yang menggerunkan, termasuk memandu di lorong paling kanan.

Siapa yang pernah memandu di lebuh raya mungkin pernah terserempak dengan bas ekspres memotong kenderaan anda dengan laju pada waktu malam.

Pemandunya (bukan semua) seolah-olah mengejar masa, mahu cepat sampai ke destinasi tanpa memikirkan nyawa penumpang yang terletak di tangan mereka.

Wajarkah kita menguatkuasakan peraturan supaya bas ekspres untuk perjalanan jauh tidak dibenarkan berjalan malam?

Ini untuk keselamatan semua pihak, termasuk penumpang yang mengharapkan perkhidmatan yang terbaik daripada syarikat-syarikat bas - juga supaya mereka tidak fobia dan berasa selamat untuk menggunakan khidmat bas ekspres lagi selepas ini.

*Suffian Abu Bakar pernah berkhidmat sebagai Wartawan Utusan Daerah Muar/Ledang

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 15 APRIL 2009

Tiada ulasan: