PENGUNJUNG SETIA

17 April 2009

BEKAS PENAGIH INSAF WAJAR DILINDUNGI

Oleh Zalifah Mohd Yatim
zalifah@hmetro.com.my

Institusi masjid patut bantu bawa kumpulan dibuang keluarga kembali ke pangkal jalan

LEDANG: Institusi masjid di negeri ini disaran membantu bekas penagih dadah, terutama mereka yang dibuang keluarga sendiri, untuk kembali ke pangkuan masyarakat.

Pengarah Jabatan Agama Islam Johor (Jaij), Abd Rahman Jaffar, berkata golongan itu mempunyai kelebihan tersendiri selepas mengikuti latihan dan kemahiran di pusat pemulihan, yang boleh dimanfaatkan untuk kebaikan bersama.

Beliau berkata, ia juga bagi mengelakkan mereka kembali semula kepada kegiatan lama.

"Benarkan mereka yang dibuang keluarga untuk menetap di kawasan masjid. Dengan keupayaan serta kemahiran dimiliki, mereka boleh berbakti seperti menghias landskap, bercucuk tanam dan menjaga serta membersihkan kawasan masjid," katanya ketika menutup Bengkel Pemantapan Kepimpinan Institusi Masjid di Dalam Komuniti Setempat di Pusat Pemulihan Narkotik Muar di sini, kelmarin.

Turut hadir Penolong Pengarah (Agama) Agensi Anti Dadah Kebangsaan, Mizra Hilmi Abu Bakar dan Komandan Pusat Serenti Muar, V M Asok Kumar.

Kira-kira 50 peserta dari institusi masjid seluruh Johor mengikuti bengkel berkenaan yang turut menyelitkan aktiviti riadah bersama pelatih pusat pemulihan itu.

Beliau turut mengingatkan pelatih di pusat itu supaya tidak melepaskan peluang yang diberikan bagi memulihkan semula imej diri masing-masing.

"Mungkin ada bekas penagih yang tidak diterima keluarga... oleh itu institusi masjid perlu memainkan peranan membantu golongan ini bagi mengelakkan mereka berpatah balik ke kegiatan lama," katanya.

SUMBER: BERITA HARIAN, 17 APRIL 2009

Tiada ulasan: