LEDANG 26 April - Pengalaman berada di kawasan sawah padi nyata mengujakan bagi 44 murid sekolah rendah yang mengikuti program perkhemahan X-PDC Desa Leraian Kasih di Sawah Ring di sini baru-baru ini.
Program yang menghimpunkan pasukan beruniform pengakap dari Sekolah Rendah Agama Bersepadu Daerah Muar itu memberi peluang kepada murid-murid terbabit untuk mengalami kehidupan seharian golongan petani.
Malah kemesraan yang terjalin turut dieratkan dengan peserta program tinggal bersama keluarga angkat masing-masing sepanjang tiga hari aktiviti berlangsung.
Menurut Guru Besar Sekolah Rendah Agama Bersepadu Daerah Muar, Zarkasi Mustakim, program yang julung kali diadakan itu bertujuan memberi pendedahan kepada murid-murid di bandar Muar untuk menjalani kehidupan di desa.
"Matlamat aktiviti ini juga untuk mewujudkan interaksi serta mengeratkan hubungan persahabatan dan persaudaraan antara peserta.
"Ia diharap dapat membina dan mengembangkan lagi kemahiran, kepimpinan, jalinan ukhwah dan sifat-sifat kerjasama di kalangan peserta," katanya pada majlis pelancaran program perkhemahan tersebut di Sekolah Rendah Agama Sawah Ring di sini.
Beliau berkata, selain seharian berada di kawasan sawah padi, antara pengisian program tersebut termasuk gotong-royong bersama penduduk serta persembahan kebudayaan.
"Dengan penyertaan yang menggalakkan ini serta kerjasama baik orang kampung, saya yakin program ini akan diteruskan lagi pada masa akan datang," katanya.
SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 27 APRIL 2009
Tiada ulasan:
Catat Ulasan