TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

20 April 2009

PERGAULAN BEBAS TANPA SEMPADAN DORONG PERZINAAN, BUANG BAYI

Oleh Mohd Ali Muhamad Don

SELEPAS sekian lama tidak mendapat liputan media massa, jenayah buang bayi kini kembali menjadi penghias muka depan akhbar utama. Hakikatnya, perbuatan kejam itu tidak akan berhenti selagi ada manusia bertopengkan syaitan yang tidak pernah insaf daripada noda yang dilakukan.

Selepas berseronok melakukan hubungan zina diharamkan, mereka terbabit pula melakukan pembunuhan kejam. Malah, bagi mereka buang bayi tidak ubah seperti buang sampah yang sudah busuk dan tidak lagi diperlukan.

Amalan hina itu lebih buruk daripada binatang dijadikan Allah dengan rasa kasih sayang dan belas kasihan terhadap darah daging sendiri. Bimbang malu atas keterlanjuran tidak boleh sama sekali dijadikan alasan untuk membunuh nyawa yang tidak berdosa. Malah, keadaan itu mendedahkan pelaku kepada jenayah membunuh dengan sengaja lalu mengundang kemurkaan Allah.

Masyarakat Arab jahiliah sebelum kelahiran Nabi Muhammad SAW pernah membunuh anak perempuan kerana malu dan dianggap tidak setanding dengan anak lelaki yang gagah dan boleh diajar berperang.

Hal ini dinyatakan dalam firman Allah bermaksud: “Dan apabila dikhabarkan kepada seseorang dari mereka bahawa dia beroleh anak perempuan, muramlah mukanya sepanjang hari (kerana menanggung dukacita), sedang dia menahan perasaan marahnya dalam hati. Dia bersembunyi dari orang ramai kerana (merasa malu disebabkan) berita buruk yang disampaikan kepadanya (dia beroleh anak perempuan sambil dia berfikir), adakah dia akan memelihara anak itu dalam keadaan yang hina atau dia akan menanamnya hidup-hidup dalam tanah? Ketahuilah! Sungguh jahat apa yang mereka hukumkan itu.” (Surah al-Nahl, ayat 58-59)

Tetapi kini, kejahatan manusia melampau naluri semula jadi seorang ibu yang sepatutnya menjadi belas serta sayang terhadap anak dilahirkan. Jantina bayi tidak lagi menjadi perhitungan, malah jika yang lahir pondan sekalipun, mahu dibuang atau dibunuh tetap akan dilakukan.

Ada dibuang dalam lubang tandas, ditinggalkan di tepi semak, tempat pembuangan sampah, dicampak dalam longkang dan terbaru seorang bayi seberat 3.05 kilogram ditemui ditinggalkan semalaman di perhentian bas sehingga dikerumuni ribuan semut.

Manusia jenis apakah tergamak melakukan perbuatan keji seperti itu. Sungguh ia perlakuan manusia dirasuk iblis hingga akal tidak lagi dapat berfungsi dengan sempurna.

Setiap kali isu itu dibangkitkan pelbagai pihak tampil memberi cadangan, tetapi hingga kini masih belum ada jalan penyelesaian.

Oleh itu, punca permasalahan perlu terlebih dulu dikenal pasti bagi mencari penawar untuk mengubati penyakit masyarakat yang sudah lama membarah. Pergaulan bebas tanpa batasan, keinginan muda-mudi untuk berseronok, terpedaya dengan pujukan pasangan, kurang perhatian dan kasih sayang ibu bapa, tidak melaksanakan perintah agama antara punca amalan tidak bermoral berterusan.

Bagi membendung jenayah ini, golongan muda-mudi Islam dinasihatkan kembali ke jalan benar. Mereka wajib kembali kepada beramal dengan ajaran al-Quran dan sunnah Rasul-Nya.

Setiap individu Muslim diingatkan supaya sentiasa menunaikan solat dan tidak mengabaikannya. Semoga ia mampu menjadi benteng serta pelindung kepada pelakuan dosa dan maksiat.

Allah berfirman bermaksud: “Bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu dari al-Quran dan dirikanlah sembahyang (dengan tekun); sesungguhnya sembahyang itu mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya) dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.” (Surah al-Ankabut, ayat 45)

Ibu bapa pula diingatkan supaya tidak terlalu leka mengejar kemewahan dunia yang sementara menyebabkan tanggungjawab mendidik anak terabai. Walaupun kemungkinan anak tidak lagi tinggal serumah apabila sudah bekerja ibu bapa seharusnya tahu tempat tinggal, rakan juga tempat bekerja.

Anak akan berasa keprihatinan ibu bapa walaupun berjauhan.

Selain itu, pesta hiburan sehingga lewat malam yang menjurus kepada pergaulan bebas tanpa sempadan juga hendaklah diberhentikan.

Stesen televisyen juga disaran mematuhi garis panduan penayangan filem dengan menghentikan filem berunsur lucah daripada tayangan umum.

Seterusnya, marilah bersama menyumbang dengan melaksanakan kerja menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran untuk kebaikan semua.

Budaya tegur-menegur dan saling nasihat-menasihati perlu menjadi amalan dalam masyarakat supaya amalan buruk jahiliah moden ini dapat dibanteras.



Penulis ialah Pensyarah Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Bandaraya Johor Bahru

SUMBER: BERITA HARIAN, 20 APRIL 2009

Tiada ulasan: