PENGUNJUNG SETIA

09 April 2009

'ROTAN SAMBIL DOA'

Oleh Zalifah Mohd Yatim
zalifah@hmetro.com.my


TANGKAK: Guru yang didakwa merotan lebih 20 kali seorang murid di Madrasah Al-Mizan di sini, Sabtu lalu, disifatkan seorang guru berpengalaman serta ikhlas ketika mendidik muridnya menghafal al-Quran hingga sanggup mengenepikan ganjaran lumayan, semata-mata kerana mahu mengajar di sekolah itu.

“Guru berkenaan langsung tidak mempunyai niat mendera sebaliknya tindakan diambil hanya bertujuan sebagai pengajaran. Pukulnya berserta doa (beliau memukul murid sambil mendoakannya),” kata Pengerusi Jawatankuasa Madrasah Al-Mizan, Abdul Rashid Abu Hassan.

Abdul Rashid berkata, guru berkenaan juga seorang yang berpengalaman dan sudah lama mengajar di situ sejak beberapa tahun lalu serta menganggap semua murid yang belajar di sekolah agama swasta berkenaan sebagai anaknya sendiri.

Menurutnya, walaupun beban tugasan berat tetapi niat ikhlas untuk mendidik lebih ramai murid mahir menghafal al-Quran, guru itu sanggup mengenepikan soal ganjaran lumayan untuk terus mengajar di sekolah agama swasta itu.

Bagaimanapun, katanya, dalam siasatan dalaman yang dijalankan mendapati terdapat kelemahan komunikasi sehingga mencetuskan rasa tidak puas hati di pihak keluarga yang beranggapan pihak sekolah langsung tidak bertanggungjawab bagi menyelesaikan masalah berkenaan.

“Guru dan jawatankuasa langsung tidak mengetahui mengenai kejadian itu dan hanya sedar apabila tersiar dalam surat khabar malah guru yang memukul turut tidak sangka tindakannya meninggalkan kesan kepada murid itu kerana dia berpakaian lengkap ketika di rotan.

“Kami akan jalankan siasatan bagi mengenal kelemahan di peringkat pengurusan dan sekolah serta memperbaikinya termasuk sudut komunikasi antara sekolah dengan keluarga supaya masalah yang sama tidak berulang pada masa depan.

“Jawatankuasa juga akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap guru yang bertanggungjawab dalam kes ini. Pengurusan sekolah cuba sedaya mungkin bagi menjernihkan keadaan dan menyelesaikan masalah dengan baik.

“Kita rasa simpati dan sedih dengan kejadian ini dan berharap tidak berulang pada masa depan untuk kebaikan semua pihak,” katanya.

Menurutnya, sekolah agama swasta itu sudah ditubuhkan sejak sembilan tahun lalu dan sudah melahirkan seramai 30 hafiz.

Katanya, setakat ini, seorang murid yang belajar di sekolah berkenaan mampu menghafal al-Quran dalam tempoh setahun lapan bulan.

“Alhamdulillah, sekolah ini bukan hanya mengajar di kalangan anak Johor malah seluruh negara termasuk Sabah serta Sarawak.

“Malah pelajar dari luar negara seperti Kemboja dan Singapura turut menuntut ilmu di sekolah ini dan terbaru seramai 10 pelajar Kemboja sedang mengikuti pengajian masing-masing.

“Kepercayaan yang diperoleh apabila pelajar yang sudah mahir menghafal al-Quran menyampaikannya kepada ahli keluarga yang lain dan kita berharap satu kejadian tidak memusnahkan hasrat untuk melahirkan lebih ramai hafiz al-Quran,” katanya.

SUMBER: HARIAN METRO, 9 APRIL 2009

Tiada ulasan: