PENGUNJUNG SETIA

09 Oktober 2009

11 LELAKI DITAHAN CURI MOTOSIKAL

LEDANG 8 Okt. - Seramai 11 lelaki diberkas di sekitar Ledang dan Segamat bulan lalu kerana terlibat dalam kes curi motosikal yang disyaki digunakan untuk aktiviti lumba haram.

Ketua Polis Daerah Ledang, Supritendan Harun Idris berkata, kesemua suspek berusia dalam lingkungan 17 hingga 22 tahun itu ditahan dalam siri tangkapan di Sungai Mati, Grisek dan Segamat.

Jelas beliau, operasi yang dijalankan dari 24 hingga 30 September itu turut merampas komponen motosikal dan empat buah motosikal curi bernilai lebih RM20,000.

"Dengan penahanan suspek-suspek ini, polis percaya sebanyak 20 kes curi motosikal yang bermula dari April lalu berjaya diselesaikan.

"Siasatan lanjut turut mendapati seorang suspek yang berusia 20 tahun turut terlibat dalam kes ragut di Bukit Gambir pada 25 September lalu," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut Harun, suspek-suspek terbabit menyasarkan Honda Ex5 dalam kegiatan curi yang dilakukan.

"Mereka bukannya sebuah kumpulan, sebaliknya beroperasi secara individu dalam kejadian jenayah ini.

"Motosikal-motosikal yang dicuri ini telah diambil komponennya dan dipercayai digunakan untuk aktiviti mat rempit," katanya.

Jelas beliau, hampir kesemua daripada suspek terbabit merupakan penganggur melainkan dua daripadanya yang bekerja sebagai pemandu lori dan buruh.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 9 OKTOBER 2009

Tiada ulasan: